PERKESO bayar pampasan lebih RM11.19 juta untuk pekerja positif COVID-19

PENDANG,. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membayar pampasan lebih RM11.19 juta kepada pekerja yang dijangkiti COVID-19 di tempat kerja melibatkan 15,036 kes setakat 18 September lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata daripada jumlah itu lebih RM10 juta dibayar kepada pekerja tempatan membabitkan 13,170 kes, manakala lebih RM1 juta dibayar kepada pekerja asing membabitkan 1,866 kes.

“Selain itu, untuk faedah pengurusan jenazah yang melibatkan kes kematian disebabkan COVID-19 pula, jumlah bayarannya ialah lebih RM3.5 juta bagi 1,792 kes yang membabitkan pekerja tempatan.

Bagi kes kematian melibatkan pekerja asing pula, Perkeso telah membuat bayaran pampasan berjumlah RM3,500 untuk pengurusan jenazah yang membabitkan dua kes,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Program Khidmat Masyarakat Imunisasi COVID-19 Daerah Pendang di sini, hari ini.

Program anjuran Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) bersama Pejabat Kesihatan Daerah Pendang itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Mengulas mengenai program itu, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata ia adalah usaha kementeriannya menerusi MNKKP untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan dewasa di daerah ini yang masih merekodkan kadar vaksinasi rendah.

“Kita menyedari fakta seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) bahawa kadar vaksinasi (lengkap dua dos) dalam kalangan penduduk dewasa yang layak mendapat suntikan vaksin di daerah ini adalah masih rendah, iaitu pada kadar 51.16 peratus bersamaan 38,115 orang (setakat semalam).

Atas kesedaran itu, kita membantu mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan penduduk dengan mengambil pendekatan turun ke lapangan masuk ke dalam kampung bagi membantu meningkatkan pendaftaran dan kesedaran kepentingan vaksinasi dalam membentuk imunisasi kelompok,” katanya.

Awang berkata setakat ini, program khidmat masyarakat itu telah dilaksanakan di beberapa kawasan di Daerah Pendang iaitu di Kampung Bukit Tegur, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Lahar Tunjung, KEDA Asam Jawa dan KEDA Tanjung Setul.

“Turut dirancang adalah program seumpama ini yang akan dilaksanakan di beberapa daerah di negeri Kedah yang kadar vaksinasinya masih lagi rendah seperti Sik dan Baling…usaha sebegini akan diteruskan malahan akan disebar luaskan sebagai usaha untuk mempercepatkan peralihan (negeri Kedah) kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )