Perkeso: Permohonan program latihan meningkat sejak PKP

Perkeso: Permohonan program latihan meningkat sejak PKP

KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan peningkatan permohonan bagi program latihan dalam kalangan pekerja yang kehilangan pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lepas.

Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso Datuk Mohd Sahar Darusman berkata pihaknya melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) menerima lebih 300 permohonan untuk latihan daripada pekerja yang kehilangan pekerjaan termasuk 197 yang menjalani latihan dalam talian.

“Dalam tempoh ini Perkeso menawarkan 250 kursus secara dalam talian di mana 75 adalah kursus latihan yang turut mengadakan penempatan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Perkeso telah mengambil langkah proaktif dengan membolehkan pekerja yang telah kehilangan pekerjaan untuk menduduki latihan secara dalam talian dari kediaman mereka memandangkan kebanyakan premis penyedia latihan tidak beroperasi dan ditukar kepada pusat kuarantin sepanjang PKP.

“Perkeso menghayati normal baru ini dalam melaksanakan Dasar Pasaran Buruh Aktif, di mana Perkeso merupakan agensi pertama di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk melaksanakan program latihan dan temuduga terbuka secara maya,” katanya.

Beliau berkata sejak 1 Jan lepas hingga 17 Mei (semalam) Perkeso telah menerima 27,800 permohonan untuk faedah SIP.

Pekerja yang hilang pekerjaan dan berdaftar dengan PERKESO dinasihatkan membuat permohonan bantuan kewangan SIP dan juga mendapatkan latihan dan penempatan pekerjaan melalui laman sesawang PERKESO www.perkeso.gov.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-8091 5167 / 03-8091 5164 / 03-8091 5162 / 03-8091 5150 / 03-8190 5146 atau e-mel kepada [email protected].

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)