Perlindungan pengguna, keselamatan siber antara aspek ditambah baik dalam Akta SKMM

JERANTUT,. Perlindungan pengguna dan keselamatan siber antara perkara yang ditambah baik dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Fadhullah Suhaimi Abdul Malek.

Beliau berkata aspek berkenaan sedang diperkemaskan oleh MCMC dan akan dibentangkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa sebelum dibawa kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“MCMC telah meneliti akta sedia ada dan antaranya ialah mengenai bagaimana kita boleh memastikan perkhidmatan sentiasa elok untuk pengguna, maksudnya kita kena ada perlindungan pengguna.

“Selain aspek kawal selia, kita juga melihat peraturan-peraturan yang membantu MCMC dan agensi keselamatan yang lain untuk menangani isu keselamatan siber…bagi kami sedikit masa untuk kemas kini pembaikan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di sini pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan Annuar berkata beberapa frasa dalam akta berkenaan perlu dikaji semula bagi memberikan aspek perundangan yang lebih berkesan dalam menangani isu keselamatan siber negara, ia berikutan akta sedia ada telah wujud lebih 20 tahun selain sudah masanya untuk suruhanjaya itu memerlukan kuat kuasa undang-undang yang berpadanan dengan keadaan semasa.

Mengulas mengenai lawatan beliau, Fadhullah Suhaimi berkata lima menara telekomunikasi di kawasan berkenaan akan dan sedang dinaik taraf selain beberapa menara baharu akan didirikan bagi memberi liputan yang lebih baik kepada pengguna.

“Berdasarkan aduan penduduk kampung dan pihak media, kami turun dan melihat tempat-tempat yang mana liputan internet kurang dan kita telah mohon pembekal perkhidmatan untuk meningkatkan perkhidmatan di kawasan terbabit,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan pengguna memberi maklum balas atau aduan menerusi portal Peta Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi menambah baik kualiti dan liputan perkhidmatan jalur lebar selain mengetahui status liputan rangkaian.

Terdahulu, Fadhullah Suhaimi meluangkan masa melawat Pusat Internet Komuniti Kampung Mat Daling selain kawasan yang mempunyai liputan internet yang kurang memuaskan di Kampung Semena dan Kuala Sat, di sini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )