Permainan komputer Covid-19 didik anak amal jarak sosial

Permainan komputer Covid-19 didik anak amal jarak sosial

LONDON,. Seorang profesor universiti di London melancarkan permainan komputer ‘Can You Save the World?’ untuk membantu kanak-kanak memahami bagaimana jarak sosial dapat menyelamatkan nyawa semasa wabak koronavirus (Covid-19) melanda dunia.

Richard Wiseman berkata, idea yang dianggap sebagai permainan komputer Covid-19 pertama di dunia itu tercetus setelah dia pergi bersiar-siar semasa pelaksanaan perintah berkurung di Britain dan mendapati keadaan itu terasa seperti permainan komputer apabila dia perlu menjaga jarak sosial dari pejalan kaki dan penunggang basikal di sekelilingnya.

Wiseman yang juga profesor psikologi di University of Hertfordshire berkata, kajian menunjukkan bahawa permainan yang mendorong tingkah laku sosial yang positif dapat mempengaruhi tindakan orang di dunia nyata.

“Terdapat banyak penyelidikan yang menunjukkan bahawa jika anda membuat individu khususnya kanak-kanak, berkelakuan dengan cara tertentu dalam permainan video, ia benar-benar berpindah ke kehidupan nyata,” katanya.

Wiseman yang kini dalam usaha untuk mengembangkan aplikasi itu berpendapat bahawa pihak sekolah dan pihak berkuasa kesihatan boleh menggunakan permainan itu bagi menggalakkan penjarakan sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Difahamkan permainan komputer yang dicipta dengan kerjasama pereka grafik, Martin Jacob itu digunakan kira-kira 15,000 orang pemain dari golongan kanak-kanak dan orang dewasa sejak dilancarkan pada hari Jumaat lalu. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)