Permaisuri zahir sukacita, bangga roti canai dinobat roti terbaik dunia

Permaisuri zahir sukacita, bangga roti canai dinobat roti terbaik dunia

KUALA LUMPUR,. Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sukacita dan bangga kerana roti canai yang menjadi makanan kegemaran rakyat Malaysia dinobatkan sebagai roti terbaik di dunia oleh TasteAtlas, baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara semalam, Tunku Azizah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada rakyat Malaysia atas kejayaan itu yang menyaksikan roti canai mengalahkan India yang popular dengan roti naan dan Eropah yang terkenal sebagai negara penghasilan pastri terbaik dunia.

“Roti canai juga pilihan makanan yang digemari Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah),” menurut hantaran itu.

TasteAtlas, sebuah laman antarabangsa yang menjadi panduan pelancongan dalam talian, menerusi hantaran di Instagram pada Ahad lepas mengumumkan roti canai mengungguli senarai 50 roti terbaik di dunia selepas mendapat skor tertinggi 4.9 daripada 5.0 berdasarkan ulasan pengguna.

Ini bukan pertama kali roti canai menerima pengiktirafan daripada TasteAtlas apabila pada Julai lepas ia dipilih sebagai ‘roti rata’ terbaik di dunia.

Pada September tahun lepas pula roti canai dianugerahkan sebagai ‘makanan jalanan’ terbaik di dunia oleh laman antarabangsa tersebut.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)