Permintaan kargo udara global melonjak 8.3 peratus pada November – IATA

Permintaan kargo udara global melonjak 8.3 peratus pada November – IATA

KUALA LUMPUR,. Permintaan kargo udara global melonjak 8.3 peratus pada November 2023 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, manakala pertumbuhan permintaan untuk operasi antarabangsa berada pada 8.1 peratus, berdasarkan laporan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

IATA dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, kapasiti diukur dalam tan kargo kilometer, menokok 13.7 peratus berbanding November 2022 (+11.6 peratus bagi operasi antarabangsa).

“Kebanyakan pertumbuhan kapasiti terus dikaitkan dengan peningkatan kapasiti perut memandangkan pasaran penumpang antarabangsa meneruskan pemulihan pasca COVID mereka.

“Berbanding November 2019 (pra-COVID), permintaan turun 2.5 peratus, manakala kapasiti naik 4.1 peratus,” kata IATA.

Pasaran kargo udara global November 2023 menunjukkan pertumbuhan dari tahun ke tahun paling mantap dalam kira-kira dua tahun, disebabkan oleh kelemahan pada November 2022 tetapi ia juga mencerminkan pengukuhan permintaan untuk kargo udara selama empat bulan berturut-turut.

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh menjelaskan permintaan kargo udara November, diukur dalam tan kargo kilometer, mengembang dua kali ganda berbanding 3.8 peratus pada Oktober dan bulan keempat yang mencatatkan perkembangan pasaran yang positif.

“Ia membentuk pengakhiran tahun yang menggalakkan untuk udara kargo walaupun terdapat kebimbangan ekonomi yang ketara sepanjang 2023 yang dijangka berterusan,” katanya.

Syarikat-syarikat penerbangan Asia-Pasifik menyaksikan volum kargo udara mereka bertambah 13.8 peratus pada November 2023 berbanding bulan yang sama pada 2022, dan prestasi ini jauh melebihi pertumbuhan bulan sebelumnya iaitu sebanyak 7.6 peratus.

Kapasiti yang tersedia bagi syarikat penerbangan di rantau ini meningkat sejumlah 29.6 peratus berbanding November 2022 selepas terhapusnya sekatan COVID-19.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)