Permintaan perjalanan udara global merosot 53 peratus pd Sept 2021 berbanding Tahun 2019

KUALA LUMPUR,. Permintaan terhadap perjalanan udara global, diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), menyaksikan penurunan sebanyak 53.4 peratus pada September 2021 berbanding bulan yang sama pada 2019, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Bagaimanapun, prestasi tersebut merupakan peningkatan semula yang sederhana berbanding Ogos 2021, dan merosot 56 peratus berbanding Ogos 2019, katanya dalam kenyataan semalam.

“Ini didorong oleh pemulihan dalam pasaran domestik, terutamanya China, apabila beberapa sekatan perjalanan telah ditarik balik berikutan penularan COVID-19 pada Ogos. Permintaan antarabangsa pula merosot sedikit berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Ketua Pengarahnya, Willie Walsh berkata prestasi pada September merupakan perkembangan yang positif tetapi pemulihan dalam trafik antarabangsa masih terjejas berikutan penutupan sempadan dan mandat kuarantin yang berterusan.

“Perubahan dasar Amerika Syarikat baru-baru ini untuk membuka semula perjalanan dari 33 pasaran untuk warga asing yang telah mendapat vaksinasi sepenuhnya mulai 8 Nov adalah dialu-alukan.

“Sejajar dengan pembukaan semula baru-baru ini di pasaran utama lain seperti Australia, Argentina, Thailand dan Singapura, ini akan memberi rangsangan kepada pemulihan berskala besar kebebasan untuk melakukan perjalanan,” katanya.

Di peringkat Asia Pasifik, IATA berkata syarikat penerbangan di rantau ini menyaksikan trafik antarabangsa mereka pada September merosot 93.2 peratus berbanding September 2019, hampir tidak berubah daripada penurunan 93.4 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2021 berbanding Ogos 2019 berikutan rantau ini terus mempunyai langkah-langkah kawalan sempadan yang ketat.

Dalam kenyataan berasingan, IATA berkata permintaan terhadap kargo udara global meningkat 9.1 peratus pada September 2021 berbanding bulan yang sama pada 2019 berikutan terdapat manfaat daripada kesesakan rantaian bekalan apabila pengeluar beralih kepada pengangkutan udara untuk lebih cepat.

Walsh berkata, bagaimanapun, kekangan kapasiti terus mengehadkan keupayaan kargo udara untuk menerima permintaan tambahan.

“Jika tidak ditangani, kesesakan dalam rantaian bekalan akan menjejaskan pemulihan ekonomi daripada COVID-19. Kerajaan perlu mengambil tindakan untuk mengurangkan tekanan terhadap rantaian bekalan global dan meningkatkan daya tahannya,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )