Permulaan perlawan Liverpool diramal sukar

LONDON,. Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool berdepan permulaan sukar dalam misi mempertahankan kejuaraan musim depan apabila dijadualkan membuka kempen menentang Leeds, Chelsea dan Arsenal.

The Reds akan melayan kunjungan juara Liga Kejuaraan, Leeds United di Anfield pada aksi pembukaan sebelum perlawanan di Stamford Bridge bertemu Chelsea dan pertembungan dengan juara Piala FA, Arsenal pada perlawanan ketiga.

Aksi tetangga Merseyside juga dapat disaksikan pada perlawanan kelima sebelum aksi kelapan menyaksikan anak buah Jurgen Klopp itu akan bertemu Manchester City.

Manchester United akan memulakan kempen mereka pada minggu kedua bertemu Crystal Palace memandangkan aksi pertama mereka dan Manchester City ditunda selepas mereka beraksi di kejohanan Eropah musim ini.

United berdepan jadual sukar pada Oktober di mana selepas menentang Tottenham, mereka akan berkunjung ke Newcastle sebelum aksi bertemu Chelsea dan Arsenal di laman sendiri selain aksi tetangga Manchester pada 12 Disember dan Leicester pada ‘Boxing Day’ sebelum bertemu Liverpool pada 16 Januari.

City bakal berdepan cabaran Wolves pada minggu kedua perlawanan disusuli aksi di tempat sendiri bertemu Leicester, kunjungan ke Leeds sebelum pulang ke Etihad untuk bertemu Arsenal.

Chelsea pula akan membuka kempen menentang Brighton disusuli bertemu Liverpool di laman sendiri sebelum menentang pasukan yang baru dinaikkan pangkat, West Brom pada aksi ketiga.

Mikel Arteta pula akan memulakan musim penuh pertamanya bersama Arsenal dengan aksi bertemu seteru London, Fulham sebelum aksi menentang satu lagi seteru London, West Ham dan selepas itu, Liverpool.

Jose Mourinho pula akan membuka kempen musim depan bertemu Everton namun hanya United menjadi satu-satunya pasukan dalam kelompok empat pasukan terbaik yang menanti mereka sehingga 21 November.

Bagaimanapun, dalam empat daripada lima perlawanan selepas itu, mereka akan berdepan Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Liverpool.

Lain-lain aksi pembukaan membabitkan Crystal Palace menentang Southampton, West Brom melayan kunjungan Leicester, West Ham bertemu Newcastle dan Sheffield United akan berdepan cabaran Wolves. -Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )