Perniagaan perlu sertakan aspek kemampanan bagi penilaian keuntungan – CIMB

Perniagaan perlu sertakan aspek kemampanan bagi penilaian keuntungan – CIMB

KUALA LUMPUR,. Semua perniagaan perlu mengambil maklum dan menilai risiko alam sekitar dan sosial serta kesannya kepada keuntungan dan pihak berkepentingan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Beliau berkata elemen penting dalam perniagaan yang perlu diketahui adalah, keuntungan dan kemampanan tidaklah bercanggah, sebaliknya, pengurusan impak alam sekitar dan sosial yang sistematik bukan sahaja membantu melindungi perniagaan dalam jangka panjang, malah, memberikan manfaat kepada perniagaan dan pihak berkepentingan.

“Sebenarnya, semuanya saling berkaitan. Tiada pilihan ‘sama ada atau’ apabila melibatkan kemampanan,” katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Kemampanan Bumi Yang Lebih Dingin (TCE) secara dalam talian, menerusi webinar di sini hari ini.

Beliau berkata sokongan ke arah kemampanan yang lebih baik adalah kompleks, namun, bank itu mengambil serius hal berkenaan.

“Kami mengakui, dengan membawa isu kemampanan ini di hadapan Korporat Malaysia dan Korporat ASEAN, kami akan mendedahkan diri terhadap potensi serangan dan kritikan.

“Namun, untuk permulaan, kita mesti… memandangkan alternatifnya akan menjadi lebih buruk kepada keluarga kita, perniagaan kita dan masyarakat sekiranya kita tidak menangani isu menyelamatkan bumi dan melindungi masyarakat,” katanya.

CIMB menganjurkan TCE untuk kali kedua bermula 8 Sept hingga 31 Okt 2020 dengan tema “Pemulihan, Daya Tahan dan Kebertanggungjawaban” untuk menggalakkan pertukaran idea dan pelaksanaan model perniagaan yang mampan agar perniagaan dan masyarakat lebih kuat untuk menghadapi cabaran akan datang pada pasca pandemik COVID-19.

Abdul Rahman berkata dalam tempoh dua tahun selepas inisiatif ini dijalankan, langkah yang signifikan dan progresif telah diambil apabila CIMB menjadi bank penandatanganan pertama di ASEAN bagi Prinsip Perbankan yang Bertanggungjawab, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta mewujudkan Dasar Pembiayaan Mampan Kumpulan dan Dasar Kemampanan Kumpulan.

“Kami merupakan sebahagian daripada kumpulan kerja bagi memajukan rangka kerja Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan ahli aktif bagi Jawatankuasa Bersama mengenai Perubahan Iklim,” katanya.

Selain itu beliau berkata sepanjang TCE diadakan, CIMB akan melancarkan beberapa inisiatif baharu antaranya kerjasama dengan Private Financing Advisory Network (PFAN), rangkaian pakar global bagi pembiayaan tenaga bersih dan iklim serta pinjaman pemuliharaan bangunan warisan dengan Think City.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata CIMB turut melancarkan Pelan Motor Takaful, produk insurans patuh Syariah oleh Takaful Ikhlas dengan kerjasama CIMB Islamic yang membolehkan pelanggan menyalurkan wakaf dan endowmen kepada institusi terpilih untuk kebajikan masyarakat.

“Sehubungan itu, CIMB menjalankan kempen selama empat bulan yang mana setiap langganan Pelan Takaful Motor secara dalam talian yang berjaya, CIMB akan menyumbang dana awal sebanyak RM50, yang akan digunakan untuk membeli basikal agar kanak-kanak daripada kumpulan yang jarang diberi perhatian, dapat ke sekolah,” katanya.

CIMB Islamic juga akan menyerahkan RM100,000 secara sekali beri dalam dana awal itu untuk memulakan kempen dan berharap lebih ramai prospek dan pelanggan sedia ada dapat melihat manfaatnya dan mengambil peluang untuk menyertai.

Sidang Kemuncak Kemampanan TCE menampilkan penceramah utama yang memberi penekanan kepada isu-isu berkaitan pandemik, pembuat dasar dan iklim dalam webinar TCE termasuk pakar kemampanan terkenal yang juga penulis The Triple Bottom-line, John Elkington dan Ketua Pengarah WWF International, Marco Lambertini.

Ia terbuka untuk penyertaan kepada semua pihak secara percuma dengan terjemahan dalam bahasa Melayu, Indonesia, Filipina, Cina, Thailand dan Vietnam disediakan bagi semua sesi dalam talian.

Peserta yang berminat boleh mendaftar dan menerima program lengkap, perincian mengenai aktiviti, tajuk dan penceramah di https://coolerearth.cimb.com.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )