Persoalan tentang Sukhoi Su-30MKN antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Persoalan tentang Sukhoi Su-30MKN antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR,. Persoalan berhubung aset pertahanan negara mengenai jet pejuang jenis Sukhoi Su-30MKM dan MIG-29 dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat yang masuk hari ke-27, hari ini.

Mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat, pertanyaan itu dibangkitkan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang mahukan Menteri Pertahanan menyatakan sama ada kerajaan sedia menerima tawaran Rusia untuk mengambil balik aset milik Tentera Udara Diraja Malaysia bermasalah itu jika Malaysia bersedia membeli pesawat baharu buatan negara berkenaan.

Turut mencuri tumpuan soalan daripada Noorita Syuai (PH-Tenom) kepada Menteri Pendidikan tentang status pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) jika institusi itu ditutup dan apakah perancangan kementerian tentang perkara tersebut.

Selain itu, persoalan tentang kesediaan kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan undang-undang baharu bagi memastikan keselamatan terus terjamin yang diutarakan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai), juga dijangka mendapat perhatian yang mahukan Menteri Dalam Negeri menjelaskan perkara itu.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung sehingga 5 Dis.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )