
Pertandingan belia N9 platform pupuk perpaduan
SEREMBAN,. Satu program pencarian bakat akan diadakan 8 Dis ini bagi memberi peluang kepada semua belia di negeri ini bergiat lebih aktif serta mengasah bakat terpendam yang dimiliki mereka.
Program anjuran Persatuan Muafakat Negeri Sembilan dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang itu menyasarkan penyertaan daripada belia berumur 15 hingga 30 tahun sama ada secara individu atau berkumpulan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Temiang Ng Chin Tsai dalam kenyataan berkata program yang dinamakan ‘N9 Youth Talent Competition 2019’ itu juga bertujuan memupuk semangat muhibah dan perpaduan kerana belia didedahkan dengan bakat dan kebolehan masing-masing daripada pelbagai kaum.
“Objektifnya adalah mencari bakat terpendam, menyatupadukan bangsa serta mengelak sikap antisosial dalam kalangan belia. Penyertaan terbuka kepada anak Negeri Sembilan dan tidak pernah memasuki mana-mana pertandingan di peringkat Malaysia atau antarbangsa.
“Hanya mereka yang berjaya ke peringkat akhir pertandingan akan dikenakan bayaran RM30 dan bayaran tidak dikenakan pada peringkat awal pertandingan,” katanya.
Pertandingan yang akan diadakan di Dewan Perhimpunan Chung Hua High School itu menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 dan trofi kepada juara, naib juara (RM1,000 dan trofi) dan ketiga (RM800 dan trofi).
— BERNAMA