Pertandingan cipta lagu rasmi ulang tahun ke-50, Angkasa tawar RM10,000

KUALA LUMPUR,. Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) hari ini melancarkan pertandingan mencipta lagu rasmi Semangat Koperasi sempena ulang tahun ke-50 koperasi itu.

Bahagian Komunikasi Korporat Angkasa dalam satu kenyataan berkata pertandingan yang julung kali diadakan itu bukan sahaja diadakan sempena sambutan Jubli Emas Angkasa pada 12 Mei 2021, tetapi juga sambutan 100 tahun gerakan koperasi di Malaysia pada tahun 2022.

Menurutnya pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM10,000 (johan) beserta sijil penyertaan dan tiga hadiah juri bernilai RM2,500 dengan sijil penyertaan.

Pertandingan itu juga terbuka kepada semua rakyat Malaysia secara perseorangan, berkumpulan, amatur atau profesional dengan lagu hendaklah ciptaan asal tidak melebihi dua minit dan penyertaan tidak terhad.

Dalam kenyataan itu, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata pertandingan itu bertujuan meningkatkan aspirasi semangat koperasi dalam kalangan rakyat Malaysia serta mendekati masyarakat mengenali dan menyedari keistimewaan berkoperasi.

“Aspek kerjasama perkhidmatan profesional kepada anggota koperasi, kelestarian koperasi, penyatuan dan perpaduan kaum, peranan Angkasa sebagai badan apeks (tunggal) koperasi negara yang menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi masyarakat dan negara bangsa boleh diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata penilaian akan diberikan kepada aspek kreativiti melodi bermutu, bernilai komersil dan mampu menarik minat semua golongan serta lirik bersesuaian dengan konteks dan konsep.

Orang ramai boleh menghantar penyertaan bermula hari ini sehingga 16 Sept depan ke alamat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Wisma Ungku A. Aziz, Jalan SS6/1 Kelana Jaya, 47301, Petaling Jaya, Selangor.

Sebarang info, terma dan syarat mengenai pertandingan itu boleh dimuat turun di www.angkasa.coop.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )