Pertandingan sukan tiada sentuhan fizikal tanpa penonton dibenarkan

Pertandingan sukan tiada sentuhan fizikal tanpa penonton dibenarkan

PUTRAJAYA, 10 Julai — Penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton bagi sukan tiada bersentuhan fizikal seperti sukan permotoran dan sukan individu dibenarkan mulai 15 Julai ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya ia termasuk perlumbaan permotoran seperti lumba motosikal dan kereta di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan litar-litar lain, kejohanan badminton perseorangan, tenis perseorangan, gimnastik perseorangan, terjun papan anjal dan kejohanan catur.

Beliau berkata mulai tarikh sama, aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal seperti sukan berpasukan termasuk bola sepak, ragbi, bola keranjang, sepak takraw serta sukan tempur seperti karate, silat dan taekwondo juga dibenarkan.

“Serentak dengan itu, pengusaha-pengusaha padang komersial, operator gelanggang futsal, fasiliti sukan dan akademi juga dibenarkan beroperasi semula bermula 15 Julai 2020,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi bagi Fasa 3 dan Fasa 4 itu serta penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat khas juga bersetuju membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton untuk sukan bersentuhan fizikal bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang dan skuasy bermula 15 Ogos.

“Contoh kejohanan sukan berpasukan adalah seperti Liga Super dan Liga Premier bola sepak, Liga Sepak Takraw, Liga Hoki dan Liga Ragbi,” katanya.

Menjelas lanjut beliau berkata pelaksanaan aktiviti sukan dan penganjuran kejohanan perlu diadakan dalam keadaan terkawal oleh operator premis dan penganjur acara dengan SOP Am Pengurusan, SOP Am Prapenganjuran dan SOP Am Penganjuran yang perlu dipatuhi.

Antara SOP yang perlu dipatuhi termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera, saringan suhu badan, sanitasi peralatan selepas setiap penggunaan dan kawalan bilangan petugas.

“Semua SOP akan dimuat naik oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat untuk rujukan,” katanya.

Tegasnya, penganjuran acara antarabangsa melibatkan peserta dari luar negara adalah tidak dibenarkan buat masa ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )