Pertumbuhan media digital di Malaysia galak pelaburan tempatan dan antarabangsa – Fahmi

Pertumbuhan media digital di Malaysia galak pelaburan tempatan dan antarabangsa – Fahmi

KUALA LUMPUR,. Pertumbuhan industri media digital di negara ini akan mendorong kepada peningkatan pelaburan dalam infrastruktur teknologi dan komunikasi, di dalam dan luar negara, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

“Populariti perkhidmatan penstriman digital semakin meningkat. Kedua-dua platform tempatan dan antarabangsa mempunyai kedudukan yang ketara dalam pasaran Malaysia.

“Perkhidmatan ini menyumbang kepada transformasi digital industri media dan hiburan dengan menawarkan kandungan atas permintaan kepada pengguna,” katanya pada majlis pelancaran OK Vision, perkhidmatan televisyen berasaskan pelanggan, di sini, pada Isnin.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif MNC Group, Hary Tanoesoedibjo dan Tan Sri Vincent Tan, pemegang saham utama dalam U-Telemedia Sdn Bhd, syarikat induk Ansat Broadcast.

Platform media digital yang popular termasuklah perkhidmatan penstriman, laman web berita, platform media sosial dan penyedia kandungan dalam talian yang lain.

OK Vision, usaha sama antara Ansat Broadcast Sdn Bhd dan konglomerat Indonesia MNC Group, secara bersama menawarkan perkhidmatan pengedaran kandungan televisyen untuk pelanggan di Malaysia.

Fahmi berkata, platform media digital adalah penting kepada ekonomi Malaysia, menyumbang kepada penjanaan hasil, pekerjaan, inovasi dan daya saing global.

“Berdasarkan ekosistem digital yang terus berkembang, impak ekonomi media digital dijangka meningkat, seterusnya membentuk kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital global,” katanya.

Beliau berkata, usaha sama itu menjadi bukti kepada kekuatan kerjasama merentas sempadan, menggalakkan pertukaran kepakaran dan kreativiti.

“Kementerian menghargai Ansat dan MNC Group atas visi dan dedikasi mereka dalam menghasilkan platform ini, menyumbang kepada pertumbuhan industri media Malaysia.

“Kementerian Komunikasi gembira menyaksikan kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat, mencerminkan komitmen untuk memajukan landskap media digital di Malaysia,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)