Peruntukan 30 juta kepada JAS lengkapi dasar kelestarian negeri Johor

Peruntukan 30 juta kepada JAS lengkapi dasar kelestarian negeri Johor

JOHOR BAHRU,. Peruntukan RM30 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia semalam dilihat melengkapi Dasar Kelestarian Negeri Johor.

Ini kerana ia secara tidak langsung bakal memperteguh peranan JAS dalam mendepani sebarang cabaran dan ancaman pencemaran susulan pembangunan pesat di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon.

“Ia juga akan memantapkan lagi usaha penguatkuasaan, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan oleh pihak JAS,” kata beliau sebagai respons kepada inisiatif itu yang diumumkan kerajaan bagi melestarikan alam sekitar dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam.

Beliau berkata untuk dana padanan berjumlah RM10 juta bagi membiayai inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pula, pihaknya melihat dana itu sememangnya diperlukan tatkala kerajaan negeri sedang memperhebat usaha menterjemah dan memacu agenda rendah karbon secara menyeluruh melibatkan masyarakat akar umbi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berharap pengumuman kerajaan mengenai pelaburan sebanyak RM85 juta bermula tahun depan bagi melancarkan aliran trafik di Tambak Johor, turut akan melibatkan soal meningkatkan kecekapan sistem, memperbaiki kemudahan infrastruktur dan penguatkuasaan.

Katanya, ketiga-tiga komponen ini penting bagi memastikan masalah kesesakan yang berlarutan dan semakin buruk dari tahun ke setahun dapat diatasi.

Beliau juga menaruh harapan kemudahan baharu iaitu laluan pejalan kaki berbumbung yang telah dicadangkan kepada Perdana Menteri, dilaksanakan dengan segera.

“Walaupun projek Sistem Rapid Transit (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura dilaksanakan, kompleks CIQ (Bangunan Sultan Iskandar) termasuk laluan jalan serta kemudahan menurun dan mengambil penumpang bas awam, bas sekolah, bas persiaran dan ratusan lagi bas pekerja perlu dibaiki.

Ini kerana laluan Tambak Johor akan terus menampung pengangkutan bermotor seperti bas, kereta, motosikal, lori sedangkan kemudahan yang dibina sejak tahun 2003 itu tidak lagi berupaya menampung keperluan semasa,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)