Peruntukan RM1.1 bilion untuk projek pembangunan universiti awam di Johor

Peruntukan RM1.1 bilion untuk projek pembangunan universiti awam di Johor

JOHOR BAHRU,. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperuntukkan RM1.1 bilion menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi 21 projek berkaitan pembangunan universiti awam di Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Menteri KPT Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini berkata, kementerian itu turut memperuntukkan RM612.8 juta bagi pelaksanaan sembilan projek politeknik.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM96.86 juta diperuntukkan bagi tujuh projek kolej komuniti di negeri itu.

“Perbincangan (bersama Menteri) juga menyentuh beberapa perkara penting mengenai soal perkembangan sektor pendidikan tinggi di negeri Johor dan inisiatif bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata laporan daripada KPT menyatakan bahawa kebolehpasaran graduan Johor turut berada di tahap memberangsangkan iaitu pada kadar 94.1 peratus.

Onn Hafiz berkata ia merupakan satu petunjuk yang baik, namun usaha perlu dipergiat bagi menarik lebih ramai anak muda menceburi bidang pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan industri dan pelabur.

Justeru katanya, satu pasukan petugas khas antara kerajaan negeri dan KPT akan diwujudkan untuk memperincikan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi meningkatkan taraf pembangunan pendidikan di negeri itu.

“Pada masa sama, pasukan petugas khas itu juga berperanan untuk menyampaikan hasrat dan keperluan kerajaan negeri berhubung isu pendidikan.

“Atas sebab itu, kerajaan negeri merasa amat perlu untuk mewujudkan hubungan erat dan dinamik dengan kerajaan Persekutuan, khususnya KPT, bagi memastikan isu tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat disediakan untuk menampung keperluan industri,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )