Peruntukan RM4.6 bilion untuk 434 projek pembangunan di Johor – Mustapa

Peruntukan RM4.6 bilion untuk 434 projek pembangunan di Johor – Mustapa

ISKANDAR PUTERI,. Sebanyak RM4.6 bilion diperuntukkan untuk 434 projek pembangunan termasuk 79 projek baharu di Johor dalam Bajet 2022, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membantu mempercepatkan perancangan projek pembangunan berkenaan yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Sebahagian besar daripada projek ini merupakan projek-projek sambungan, projek sudah ada (dan kini), nak sambung termasuk bina sekolah, jalan dan ‘landasan berkembar.

“Saya bertanggungjawab untuk projek pembangunan dan Johor adalah negeri yang penting kerana ia merupakan pintu masuk utama (selatan tanah air),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Sesi Roadshow Pasca RMK12 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan Mustapa berkata Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad telah membangkitkan tentang bilangan projek terbaharu di negeri ini yang disifatkan kecil bilangannya berbanding dengan projek sambungan.

“Kami beri penjelasan bahawa ini ada kaitan dengan kekangan kewangan akibat COVID-19 namun apabila kedudukan kewangan negara bertambah baik selepas ini, kerajaan akan mempertimbangkan permohonan kerajaan negeri,” katanya.

Mustapa berkata antara projek pembangunan di negeri ini termasuk Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru, Projek Rapid Transit System Link (RTS Link), sekolah baharu 36 bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Bandar Putra 2, Kulai, Program Perumahan Rakyat Ulu Tiram dan pembinaan Hospital Pasir Gudang.

Sementara itu, Mustapa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata Johor merupakan antara negeri utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan purata tahunan sebanyak 3.1 peratus melebihi purata nasional sebanyak 2.7 peratus setahun dalam tempoh 2016 hingga 2020.

“Hal ini menjadikan Johor sebagai antara negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara selain Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak.

“Pertumbuhan ekonomi Johor diterajui sektor perkhidmatan khususnya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman; penginapan diikuti sektor pembuatan khususnya dalam produk elektrik, elektronik dan optikal.

Menurutnya, kemasukan Johor dalam kerjasama wilayah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia- Malaysia-Thailand (IMT-GT) akan memberikan impak yang lebih besar kepada ekonomi di negeri itu.

Selain itu, Mustapa berkata kadar kemiskinan mutlak di Johor adalah lebih rendah berbanding kadar kemiskinan mutlak kebangsaan iaitu 3.9 peratus pada 2019 berbanding 5.6 peratus berdasarkan Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES BA) 2019.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)