Peruntukan tambahan baik pulih kuarters, perkasa kebajikan anggota PDRM

Peruntukan tambahan baik pulih kuarters, perkasa kebajikan anggota PDRM

KANGAR ,. Peruntukan tambahan RM150 juta bagi menyelenggara kemudahan agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Polis Diraja Malaysia(PDRM) dapat memperkasakan kebajikan dan keselesaan anggota dan keluarga pasukan keselamatan negara itu.
Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata pihaknya menzahirkan penghargaan tinggi kepada kerajaan terhadap peruntukan tersebut dalam usaha meningkatkan keselesaan warga PDRM khususnya di negeri ini.

“Peruntukan ini dapat membantu PDRM menyelenggara dan membaik pulih antaranya kerosakan kuarters polis dalam memastikan setiap pegawai, anggota dan keluarga mereka mendapat tempat tinggal yang selesa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Program Malaysia Madani di Kulim, Kedah baru-baru ini mengumumkan peruntukan tambahan berkenaan yang antara lain melibatkan peruntukan RM50 juta untuk penyelenggaraan kuarters PDRM dan balai.
Anwar berkata peruntukan tambahan itu menjadikan peruntukan secara keseluruhannya disediakan kerajaan untuk menaik taraf kemudahan agensi KDN tahun ini kepada RM350 juta.

Surina berkata pengumuman kerajaan itu juga menjadi pembakar semangat warga PDRM untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada negara tercinta.
“Kita sering peka dengan kebajikan anggota dan akan mengambil tindakan segera bagi memastikan keselesaan mereka,” katanya.
Beliau berkata terdapat 596 rumah dalam kuarters di Kangar, Padang Besar dan Arau yang kini dihuni oleh 491 warga PDRM.
— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )