Peruntukan tambahan RM100 juta bagi urus kewangan, bajet kerajaan

KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan memberikan peruntukan tambahan RM100 juta bagi usaha-usaha menambah baik tadbir urus, kecekapan dan ketelusan pengurusan kewangan serta bajet membabitkannya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah itu termasuk RM10 juta untuk Jabatan Audit Negara bagi memperkukuh keupayaan dan pengoptimuman proses pengauditan.

“Perkara ini selari dengan hasrat dan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya kerajaan mengambil tindakan sewajarnya susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini yang membangkitkan isu pembaziran wang awam.

“Langkah ini turut mengambil kira pandangan ahli-ahli Parlimen supaya peruntukan Jabatan Audit Negara ditambah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, penambahan itu turut merangkumi RM15 juta bagi meningkatkan keberkesanan peranan Parlimen dalam tadbir urus yang diperkukuh dengan jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Sejumlah RM10 juta pula disediakan untuk menyokong usaha Kumpulan Parlimen Rentas Parti Malaysia – Matlamat Pembangunan Mampan (APPM-SDG) bagi meningkatkan program-program berkaitan selain mengeratkan kerjasama antara parti politik ke arah agenda kemampanan di peringkat akar umbi.

“Selain itu, peruntukan tambahan RM15 juta disalurkan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia dan agensi berkaitan bagi menggerakkan serta memantapkan ketersediaan data supaya setiap dasar kerajaan lebih inklusif, bersasar dan menyeluruh terutama yang melibatkan penyediaan bajet tahunan negara.

“Hal ini selaras dengan hasrat Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya data-data diperincikan ke peringkat negeri dan kawasan Parlimen serta pemusatan data bagi bantuan dan subsidi demi memastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, perincian data mengikut gender akan turut ditambah baik ke arah usaha bajet yang bersifat responsif terhadap perkara itu.

Dalam pada itu, beliau berkata peruntukan tambahan RM50 juta disediakan bagi mengembalikan semula Skim Khairat Kematian sebanyak RM1,000 untuk penerima Bantuan Keluarga Malaysia bagi tahun depan.

“Kerajaan berharap penambahan peruntukan ini dapat menterjemahkan bahawa Kerajaan Keluarga Malaysia ini amat serius dan bersedia dalam memastikan langkah-langkah menambah baik tadbir urus, kecekapan serta ketelusan pengurusan kewangan kerajaan digerakkan secara berterusan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )