Perusuh bunuh, bakar lelaki Sri Lanka di Pakistan

Perusuh bunuh, bakar lelaki Sri Lanka di Pakistan

LAHORE: Seorang pengurus kilang Sri Lanka di Pakistan kelmarin dipukul hingga mati dan dibakar oleh sekumpulan perusuh, disahkan oleh polis, dalam satu insiden yang dilaporkan oleh media tempatan sebagai dikaitkan dengan kata-kata kufur terhadap Tuhan.

Beberapa isu adalah sangat sensitif di Pakistan seperti kata-kata kufur terhadap Tuhan, dan malah cadangan yang paling kecil bagi penghinaan terhadap Islam boleh mencetuskan protes dan menyebabkan tindakan menjatuhkan hukuman tanpa perbicaraan.

Perdana Menteri Imran Khan berkata, beliau akan secara peribadi mengawasi siasatan mengenai “serangan yang mengerikan ini” yang menurutnya adalah “hari yang memalukan bagi Pakistan”. “Biar tiada lagi kesilapan bahawa semua pihak yang bertanggungjawab akan dihukum dengan undang-undang yang paling berat,” tulisnya di Twitter.

Insiden kelmarin berlaku di Sialkot, kira-kira 200 kilometer di tenggara ibu negeri Islamabad.

Beberapa klip rakaman video mengerikan dikongsikan di media sosial menunjukkan sekumpulan perusuh memukul mangsa ketika melaungkan slogan membantah tindakan menghina Tuhan. Beberapa rakaman lain menunjukkan mayat dibakar, termasuk kenderaan yang diterbalikkan dikatakan sebagai kereta mangsa.

Ramai dalam kumpulan perusuh tidak cuba untuk menyembunyikan identiti mereka dan sebahagian turut mengambil swafoto di depan mayat yang terbakar. Jurucakap kerajaan Punjab Hasaan Khawar memberitahu wartawan di Lahore bahawa polis telah menangkap 50 orang.

Pada Ahad lepas beribu-ribu orang membakar sebuah balai polis di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa selepas menuntut pihak polis menyerahkan seorang lelaki yang dituduh telah membakar kitab Al-Quran.

Pada April 2017 sebuah kumpulan perusuh yang berang menghukum mati seorang pelajar universiti Mashal Khan yang dituduh mengeluarkan konten bersifat menghina Tuhan di media sosial. Satu pasangan Kristian telah dihukum mati tanpa perbicaraan dan kemudian dibakar di sebuah tempat pembakar di Punjab pada 2014 selepas tersilap dituduh mencemarkan Al-Quran.

Seorang pegawai kanan Pakistan memberitahu AFP bahawa Islamabad telah berhubung dengan diplomat Sri Lanka mengenai insiden tersebut “dan memberikan jaminan kepada mereka bahawa semua yang terlibat dalam jenayah kejam itu akan dibawa ke muka pengadilan.”

Kumpulan hak assai menyatakan, tuduhan menghina Tuhan selalunya akan digunakan bagi menyelesaikan dendam peribadi dengan puak minoriti yang sering kali menjadi sasaran.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )