Perutusan Khas Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej PRIHATIN PKS (Tambahan).

TEKS UCAPAN

 YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA

 LANGKAH TAMBAHAN BAGI

PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI PRIHATIN RAKYAT (PRIHATIN)

  

Bismillahirrahmanirrahim.

 Assalamualaikum WarahmatullahI Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Apa khabar semua?

 

Saya harap saudara-saudari sihat walafiat.

Pada 27 Mac yang lalu, saya telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN yang bernilai RM250 bilion. Saya tahu sejak beberapa hari lalu Makcik Kiah, Pak Mail, Mr Lee, En Muthu, En Johnny dan ramai lagi sibuk buat semakan kelayakan penerima Bantuan Prihatin Nasional di laman sesawang LHDN. Bagi yang layak, bayaran dibuat mulai hari ini.

Bagi mereka yang layak untuk terima bantuan tetapi nama tiada dalam rekod LHDN, anda boleh lah buat permohonan baharu. Caranya mudah sahaja. Boleh guna handphone masing-masing untuk buat permohonan secara online di laman sesawang LHDN. Isi maklumat yang diminta dengan jujur, tekan butang hantar dan tunggu bayaran dimasukkan dalam akaun anda. Bagi warga emas yang mungkin tak berapa cekap menggunakan handphone, mintalah bantuan anak atau cucu untuk isi maklumat yang diperlukan.

Sebaik sahaja PRIHATIN diumumkan, saya telah terima banyak maklum balas daripada orang ramai. Ramai yang bersetuju dan menyambut baik pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan.

Tetapi saya juga menerima maklumbalas daripada persatuan-persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan juga perniagaan kecil atau mikro yang meminta kerajaan meneliti semula manfaat yang mereka terima dalam pakej rangsangan ekonomi tersebut.

Saya terima surat, memorandum dan juga pandangan daripada banyak pihak. Ini termasuk Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, USAHANITA dan banyak lagi. Rata-rata memberi pandangan bahawa perniagaan mereka amat terjejas dan mereka memerlukan bantuan tambahan daripada kerajaan.

Saya sedar bahawa PKS merupakan tunjang utama ekonomi negara. Sektor ini menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini dan hampir 40 peratus kepada ekonomi. Oleh itu, adalah penting kita pastikan sektor PKS dapat terus cekal dan mampan dalam menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang melanda kita semua pada waktu ini.

Antara cabaran utama yang dihadapi ialah masalah aliran tunai perniagaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Selain itu para pengusaha PKS juga berhadapan dengan isu birokrasi dan pentadbiran yang menghalang akses segera terhadap bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan dalam pakej PRIHATIN.

Sehubungan itu, saya telah minta Menteri Kewangan untuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak pengusaha kecil dan sederhana. Tujuannya ialah untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi. Di pihak kerajaan kita cuba bantu dengan sebaik mungkin.

Hasil daripada semua usaha tersebut, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau “PRIHATIN TAMBAHAN”. Pakej tambahan berjumlah RM10 bilion ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan PKS dan seterusnya menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.

Langkah-langkah tambahan yang diambil ialah:

  • Pertama, peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac yang lalu akan dinaikkan daripada 9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion. Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah seperti berikut:

− Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan. Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.

−   Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.

− Akhir sekali, bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja. Melalui penambahbaikan ini, syarikat- syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan.

− Bantuan ini adalah untuk selama 3 bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan   sebelum   1   Januari   2020   dan   mendaftar   dengan

PERKESO.  Justeru,  kira-kira  4.8  juta  pekerja  dijangka  akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

− Bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka sekurang- kurangnya untuk tempoh 6 bulan, iaitu dalam tempoh 3 bulan semasa menerima subsidi upah dan 3 bulan selepas itu.

  • Kedua, mewujudkan Geran Khas PRIHATIN berjumlah 1 bilion bagi semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan. Kerajaan akan menyediakan Geran Khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro yang akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara. PKS mikro perlulah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menikmati kemudahan ini. Kerajaan akan memperolehi senarai PKS mikro yang layak daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Selain itu, Kerajaan juga menyeru organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang menyediakan kemudahan kredit untuk memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama 6 bulan bermula April 2020, sepertimana yang telah diberikan oleh pihak bank. Saya berharap organisasi pemberi pinjam wang turut bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan dan bersama-sama membantu meringankan beban kewangan mereka.

Di samping meringankan beban kewangan PKS, Kerajaan juga akan mengambil beberapa inisiatif untuk memudahkan PKS mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan yang telah diumumkan. Antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah:

  • Pertama, memansuhkan kadar faedah 2% kepada 0% untuk Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro ini juga dipanjangkan kepada TEKUN Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada

kadar faedah 0%. Untuk tujuan ini, dana sebanyak RM200 juta akan disediakan. Pemohon hanya boleh memilih salah satu daripada skim ini bagi membolehkan lebih ramai peniaga menikmati kemudahan ini.

  • Kedua, mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan Saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat Kerajaan Persekutuan seperti MARA, PETRONAS, PNB, PLUS dan UDA serta beberapa syarikat milik Kerajaan Negeri yang telah bersetuju untuk memberi diskaun atau tidak mengenakan sewaan ke atas premis mereka khusus untuk penyewa PKS.

Atas prinsip perkongsian bebanan, saya menggesa pemilik premis swasta untuk turut memberikan kemudahan yang sama dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya semasa waktu PKP dan 3 bulan selepas PKP berakhir. Pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa tersebut bagi bulan April 2020 hingga Jun 2020. Potongan cukai tambahan ini diberikan tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu hendaklah sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa asal bagi tempoh tersebut.

  • Ketiga, membenarkan pengurangan bayaran levi pekerja asing sebanyak 25% kepada semua syarikat yang permit pekerja mereka tamat pada 1 April hingga

31 Disember 2020. Pengurangan bayaran levi ini tidak terpakai kepada pembantu rumah.

Saya juga faham kesukaran yang dihadapi oleh sebahagian majikan untuk mengekalkan pekerja dalam keadaan yang agak terdesak pada waktu ini. Dalam hal ini, Kerajaan bersetuju untuk menggalakkan perundingan diadakan antara majikan dan pekerja mengenai terma pekerjaan, termasuk pilihan pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji dalam tempoh PKP.

Majikan dan pekerja boleh merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk mendapatkan nasihat berkaitan sebarang permasalahan untuk penyelesaian. Sebarang perundingan hendaklah tertakluk kepada undang-undang mengenai pekerjaan yang berkuatkuasa di negara ini. Yang penting, hak dan kebajikan kedua-dua pihak mestilah sentiasa terbela.

Saya juga tahu kesukaran yang dihadapi oleh pihak syarikat untuk mengemukakan dokumen berkanun bagi memenuhi keperluan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh PKP ini. Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan moratorium secara automatik selama 30 hari daripada tarikh terakhir PKP untuk pihak syarikat mengemukakan dokumen berkanun kepada SSM.

Selain itu, tempoh menyerah simpan penyata kewangan syarikat juga dilanjutkan selama 3 bulan daripada tarikh terakhir PKP. Kelonggaran ini diberikan kepada syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir 30 September hingga 31 Disember 2019. Walau bagaimanapun, syarikat perlu memohon kelonggaran ini daripada SSM dan tiada fi penghantaran lewat akan dikenakan atas permohonan berkenaan.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Untuk membantu pengusaha PKS memahami inisiatif-inisiatif yang saya umumkan tadi, saya ingin memberikan beberapa contoh mudah.

Contoh pertama ialah Lee Beauty Saloon, iaitu sebuah PKS mikro yang terlibat dalam sektor perniagaan dandanan rambut. Saloon ini mempunyai 2 orang pekerja tempatan yang semuanya bergaji kurang RM4,000. Pemilik saloon ini, Madam Lee ingin merancakkan semula perniagaannya selepas tamat tempoh PKP. Dengan pelaksanaan semua bantuan yang telah diumumkan Kerajaan, Madam Lee boleh mendapat manfaat subsidi upah tiga bulan berjumlah RM7,200 dan geran mikro

sebanyak RM3,000. Kesuluruhan manfaat yang diterima oleh Madam Lee ialah sebanyak RM10,200.

Contoh kedua pula ialah Restoran Mi Kolok Hj Salleh di Kuching Sarawak. Katakan restoran ini mempunyai 5 orang pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah dan 2 orang pekerja asing. Untuk menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, pemilik restoran ini boleh mendapatkan pinjaman kredit mikro BSN sebanyak RM50,000 dan subsidi upah untuk 5 orang pekerja berjumlah RM18,000. Di samping itu, pemilik restoran ini juga boleh menikmati penjimatan daripada pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, tangguhan cukai berjumlah RM5,200, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM2,300 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM300. Keseluruhan manfaat yang boleh diterima, tidak termasuk pinjaman kredit mikro, ialah sebanyak RM34,200 untuk tempoh 3 bulan.

Contoh terakhir ialah Syarikat Surjit Kaur Sdn. Bhd. Syarikat ini adalah sebuah syarikat bersaiz kecil dalam sektor perkilangan perabot dengan 15 orang pekerja. 5 orang adalah pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah, 10 orang pekerja asing dan selebihnya pekerja tempatan bergaji lebih RM4,000. Bagi memastikan syarikat dapat menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, Syarikat Surjit Kaur boleh mendapatkan pinjaman Special Relief Facility (SRF) sebanyak RM500,000 dan subsidi upah berjumlah RM18,000. Selain itu, syarikat juga boleh menikmati penjimatan melalui pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM4,600, tangguhan cukai PKP Mikro sebanyak RM32,700 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM100. Keseluruhan manfaat yang diperolehi oleh syarikat ini, tidak termasuk pinjaman SRF, ialah sebanyak RM63,800.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Untuk memastikan semua inisiatif PRIHATIN dan PRIHATIN TAMBAHAN dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar, unit LAKSANA telah ditubuhkan di Kementerian Kewangan. Unit ini akan sentiasa memantau dan melaporkan perkembangan pelaksanaan semua inisiatif kepada Menteri Kewangan dan saya.

Untuk menyokong penyampaian inisiatif PRIHATIN, portal IMSME.COM.MY yang dikendalikan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia untuk menerima permohonan pinjaman PKS yang telah saya umumkan tadi.

Jadi, selain daripada memohon pinjaman terus daripada institusi perbankan, para pengusaha PKS juga ada pilihan untuk membuat permohonan pinjaman melalui portal IMSME. Portal ini juga menyediakan khidmat myKNP, iaitu khidmat nasihat pembiayaan untuk PKS.

Dalam kalangan perusahaan mikro dan kecil, Kerajaan juga mengambil kira kesan ke atas syarikat baru mula atau startups di mana sumber pelaburan syarikat turut terjejas. Syarikat startups merupakan faktor pemboleh atau enabler serta pendorong yang penting kepada penggunaan teknologi dan kemajuan potensi modal insan bagi menyediakan negara ke arah IR 4.0. Menyedari kepentingan startups, Kerajaan akan mempertimbang pelbagai inisiatif untuk merangsang sektor ini dalam tempoh yang sukar ini.

Saya berharap Pakej PRIHATIN TAMBAHAN ini akan dapat melindungi pekerjaan anda semua di samping menjamin daya tahan perniagaan. Pada masa yang sama, Kerajaan akan meneruskan amalan kewangan berhemah dan disiplin fiskal yang tinggi demi memastikan keadaan kewangan negara terus kukuh dan terkawal.

InsyaAllah, apabila Parlimen bersidang nanti, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan untuk semua pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan. Saya memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa telus dalam berbelanja dan semua tindakan yang diambil adalah berasaskan kepada peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Saya tahu setelah tiga minggu saudara-saudari berkurung di rumah, mungkin ada di kalangan saudara-saudari yang berasa agak terbeban dengan dugaan dan ujian Tuhan ini. Selama tiga minggu ini, kita terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang biasa kita buat. Kita tinggalkan hobi kita, kita tinggalkan pekerjaan kita, kita rindu kepada kawan-kawan dan keluarga yang berjauhan. Pendek kata, kehidupan kita amat berbeza, dan kadang-kadang berasa sedikit terbeban.

Saya lihat di media sosial, ada suami yang mula memakai baju kelawar isteri. Ada yang mengayuh basikal dalam rumah. Ada juga yang mengubah ucapan saya menjadi lagu. Saya harap ini bukanlah kejadian pelik, atau buang tabiat kata orang. Ini adalah sebahagian daripada kreativiti anda semua untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah.

Yang penting saya fikir saudara-saudari mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi dugaan dan ujian. Dan saya yakin Tuhan tidaklah menguji atau membebani kita dengan sesuatu yang tidak boleh kita tanggung. Allah SWT berfirman dalam surah Al- Baqarah ayat 286:

Yang bermaksud:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

Saya yakin dugaan yang dibawa oleh wabak Covid-19 ini bukanlah sesuatu yang tidak dapat tanggung oleh kita semua. Teruslah cekal, kuat dan bersemangat. Yakinlah, kita akan dapat atasi dugaan ini bersama-sama.

To my fellow Malaysians, let us remember that we are inherently resilient, individually capable and collectively strong to face these uncertain times. Let us strengthen our

resolve and stay committed to our fight against Covid-19. Let us stay the course and follow all orders made under the MCO. It is difficult, but certainly not impossible.

 This is the sacrifice we are called to make in order to win this war against the deadly virus. Winning this war starts in our homes and with our families. We can stop the virus from spreading by staying at home and maintaining physical distance.

 Stay strong, stay healthy, insyaAllah we will succeed. Remember, after the rain, comes the sun. And better days will be here again.

 Akhir sekali, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas di barisan hadapan yang terus menjalankan amanah dengan penuh dedikasi. Terima kasih semua doktor, jururawat, anggota polis, anggota tentera, imigresen, RELA, bomba, kakitangan JKM, sukarelawan NGO dan semua yang terlibat di barisan hadapan. Terima kasih juga kepada anda sekalian yang sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Teruslah sabar, tenang dan istiqamah. InsyaAllah, kita akan bangkit semula.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)