Perwakilan tinggalkan kongres, parti akan rujuk Lembaga Disiplin – Shamsul Iskandar

AYER KEROH,. Tindakan segelintir perwakilan yang meninggalkan kongres, dipercayai kerana tidak berpuas hati akibat perbahasan yang mengkritik dan menghentam beberapa pemimpin, akan dirujuk kepada Lembaga Displin, kata Ketua Penerangannya Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu akan dilaksanakan kemudian selepas berakhirnya Kongres Nasional Keadilan ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

“Kita tidak pasti sebab apa mereka (meninggalkan kongres), parti akan membawa isu itu kepada jawatan kuasa disiplin untuk diteliti. Tetapi hari ini kita masih dalam kongres,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, sekumpulan perwakilan bertindak keluar dewan sebaik sahaja sesi perbahasan disambung semula pada 2.30 petang selepas berhenti rehat selama hampir dua jam.
Difahamkan, kumpulan perwakilan berkenaan tidak puas hati kerana pembahas yang terpilih banyak menyerang kumpulan ‘Kartel’ gelaran kepada pasukan dan penyokong kepada Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kumpulan berkenaan, sekitar 100 orang, dilihat meninggalkan dewan persidangan itu sambil melaungkan perkataan “Balik!” .

Selain itu, beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan ‘Kartel’ turut meninggalkan kongres itu seperti Naib Presiden PKR, Tian Chua, serta Timbalan Ketua Wanita Nasional, Dr Daroyah Alwi.

Tian Chua ketika ditemui pemberita, menafikan beliau meninggalkan kongres itu sebagai tanda protes, sebaliknya menjelaskan beliau perlu berjumpa dengan seseorang.

“Tiada boikot, saya cuma mahu jumpa seseorang,” katanya lagi, sambil menjelaskan beliau tidak tahu punca kumpulan perwakilan berkenaan membuat tindakan demikian.

Dalam pada itu, Tian Chua, mengakui akan ada Majlis Makan Malam Apresiasi di sebuah hotel di ibu negara, pada malam 8 Disember.

Namun jelasnya lagi, ia bertujuan bagi menghargai perwakilan yang hadir ke kongres tahunan itu, bukan untuk ‘Kartel’ semata-mata.

Menurut jadual yang diterima media, selain perwakilan, majlis itu akan dihadiri pimpinan Muafakat Keadilan.

Turut dijadualkan berucap di majlis itu ialah Azmin sendiri, tiga Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Ali Biju, serta Tian Chua, Ketua Wanita Nasional Keadilan Haniza Talha, dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hilman Idham.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )