Pesawat terhempas di kawasan kediaman, 8 maut

Pesawat terhempas di kawasan kediaman, 8 maut

MEDELLIN: Lapan penumpang dan kru terkorban apabila pesawat kecil dinaiki mereka terhempas di kawasan perumahan di Medellin, Colombia pada Isnin pagi. Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Olaya Herrera itu melaporkan kegagalan enjin sebelum merempuh sebuah rumah.

Akaun Twitter lapangan terbang tersebut menyebut bahawa mangsa terdiri daripada enam penumpang dan dua anak kapal.

Tiada mangsa yang cedera atau terbunuh dilaporkan di dalam kediaman yang mengalami kerosakan teruk dalam kejadian itu. Pesawat Piper dengan enjin berkembar itu dilapor dalam penerbangan dari Medellin ke perbandaran Pizarro.

Difahamkan pesawat malang itu melaporkan kegagalan enjin semasa berlepas namun tidak berjaya dalam usahanya berpatah balik ke Lapangan Terbang Olaya Herrera. Pesawat itu kemudian merempuh sebuah rumah, memusnahkan seluruh tingkat atas kediaman itu.

Medellin terletak di lembah sempit dikelilingi banjaran pergunungan Andes.

Pada 2016, sebuah pesawat membawa pasukan bola sepak Chapecoense dari Brazil kehabisan minyak dan terhempas di pergunungan berhampiran bandar itu, mengorbankan 71 daripada 77 orang di dalamnya, termasuk 16 pemain.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)