Pesawat TUDM terhempas, seorang terkorban

GEORGE TOWN,. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) malam ini mengesahkan sebuah pesawat pejuang Hawk miliknya terlibat dalam kemalangan di Pangkalan Udara Butterworth.

Kenyataan Markas Tentera Udara memaklumkan TUDM mengesahkan insiden itu berlaku pada 10.07 malam di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth.

“Pihak TUDM sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden ini,” menurut kenyataan itu.

TUDM turut memohon semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau berita yang tidak sahih.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan TUDM menjalankan siasatan terperinci susulan insiden membabitkan pesawat Hawk 108 yang berlaku malam Selasa.

Beliau berkata insiden tersebut dimaklumkan kepadanya oleh Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad menerusi panggilan telefon.

“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan cedera…amat sedih dan dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera,” kongsi beliau menerusi ciapan Twitter, tengah malam ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan telah diarahkan untuk menyalurkan keperluan kepada kedua-dua anggota yang terbabit dalam insiden tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )