Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia dalam lawatan kerja ke Malaysia

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia dalam lawatan kerja ke Malaysia

KUALA LUMPUR,. Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet kini dalam lawatan kerja empat hari ke Malaysia bermula hari ini, dengan melakar sejarah kerana beliau merupakan pesuruhjaya tinggi pertama melawat Malaysia.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata lawatan itu menandakan pengiktirafan kepada pencapaian dan usaha Malaysia dalam meningkatkan taraf hak asasi manusia di negara ini sejak peralihan kerajaan pada Mei 2018.

Malaysia juga merupakan destinasi pertama bagi lawatan Bachelet ke Asia Tenggara sejak menyandang jawatan itu pada September 2018 dan lawatan tersebut adalah atas undangan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, semasa pertemuan mereka di luar Majlis Hak Asasi Manusia pada 26 Feb 2019 di Geneva, Switzerland.

Selain Saifuddin, pesuruhjaya tinggi itu akan mengunjungi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) P. Waytha Moorthy dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Bachelet juga akan bertemu wakil dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan organisasi masyarakat sivil serta melawat ke salah satu Pusat Pembelajaran Alternatif (ALCs) di Kajang, Selangor.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)