
PETRA Perkasa Kerjasama Tenaga ASEAN untuk Kemakmuran Serantau
25 Januari 2025, / KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memperkenalkan tema baharu bagi sektor tenaga ASEAN 2025, “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity.” Tema ini mencerminkan komitmen untuk merapatkan hubungan antara negara anggota demi mewujudkan pembangunan tenaga mampan dan meningkatkan kesejahteraan serantau.
PETRA menyatakan, melalui pelaksanaan agenda ini, taraf kehidupan rakyat dapat dipertingkatkan menerusi pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan berteraskan kelestarian. Tema ini dilancarkan sempena Mesyuarat Khas Pegawai Kanan ASEAN mengenai Tenaga yang berlangsung pada 23 Januari di Langkawi, Kedah, selepas beberapa mesyuarat teknikal sehari sebelumnya.
Keutamaan Strategik untuk Sektor Tenaga ASEAN 2025
Dalam mesyuarat tersebut, lapan keutamaan tahunan untuk sektor tenaga ASEAN telah diluluskan. Antara inisiatif utama ialah:
*Kelulusan memorandum persefahaman (MoU) Grid Kuasa ASEAN (APG) yang dipertingkatkan.
*Pembangunan rangka kerja kabel kuasa bawah laut.
Pengumuman mekanisme pembiayaan baharu untuk APG.
Selain itu, mesyuarat turut memberi persetujuan untuk:
*Pemeteraian perjanjian baharu menggantikan Perjanjian Jaminan Petroleum ASEAN (APSA).
*Pelancaran Pangkalan Data Kecekapan Tenaga ASEAN dan Platform Pelaburan.
*Pemuktamadan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu 2026-2030.
*Penyediaan rangka kerja Pensijilan Tenaga Boleh Baharu ASEAN.
*Pembangunan awal rangka kerja pelaksanaan Loji Jana Kuasa Nuklear.
Dokumen Penting untuk Masa Depan Tenaga ASEAN
Dua dokumen utama telah disahkan sebagai tonggak kejayaan, iaitu:
*Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan bagi APG.
*Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu 2026-2030.
“Kedua-dua dokumen ini menjadi asas kepada kerjasama kukuh antara negara anggota ASEAN, memastikan bekalan tenaga yang mampan, stabil, dan inklusif untuk rantau ini,” kata PETRA.
Draf APSA serta kerangka kabel kuasa bawah laut turut dibincangkan sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan visi Grid Kuasa ASEAN.
Langkawi Tuan Rumah, Mesyuarat Lanjutan Akan Datang
Mesyuarat khas dari 22 hingga 24 Januari di Langkawi menyaksikan kehadiran delegasi dari kesemua negara ASEAN, manakala Timor Leste turut hadir sebagai pemerhati.
PETRA juga dijadualkan mempengerusikan dua lagi mesyuarat penting sektor tenaga tahun ini:
*Mesyuarat Pegawai Kanan mengenai Tenaga (SOME) di Kuching, Sarawak, pada 16 hingga 20 Jun.
*Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 di Kuala Lumpur, pada 22 hingga 26 September.
Melalui kepimpinan PETRA, ASEAN terus melangkah ke hadapan dalam membentuk kerjasama tenaga yang mantap, sekaligus mengukuhkan kemakmuran serantau berlandaskan inovasi dan kelestarian.