Petronas akan terus galak penggunaan gas pada masa depan
KUALA LUMPUR,. Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan terus menggalakkan penggunaan gas sebagai sumber bahan api bersih, berbanding bahan api pepejal dan cecair.
Naib Presiden Kanan (Strategi Korporat) Petronas, Mazuin Ismail berkata ini antara langkah untuk menggalakkan penggunaan sumber tenaga bersih yang lebih banyak dalam campuran tenaga.
Beliau berkata gas juga akan melengkapi sumber tenaga baharu berikutan ia banyak, fleksibel, stabil dan mudah diangkut dan diperoleh.
“Ia merupakan bahan api karbon hidro terbersih dan kami telah memainkan peranan yang besar dalam memindahkan gas kepada campuran bahan api.
“Petronas telah menjalankan gas asli cecair (LNG) sejak 1983 dan telah menghantar lebih 10,000 kargo tanpa gagal.
“Ini bermakna kita dapat menyakinkan dunia bahawa LNG adalah tenaga yang berdaya maju, dipercayai, selamat dan bersih,” katanya pada sesi panel mengenai Mengimbangi Pertumbuhan Ekonomi dengan Kelestarian Alam Sekitar pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2019 di sini hari ini.
Mazuin berkata sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan penggunaan tenaga bersih, syarikat minyak nasional itu telah meningkatkan portfolionya baru-baru ini dalam aset yang boleh diperbaharui dan kini mempunyai perniagaan penjanaan solar di Malaysia dan India.
Petronas mengumumkan pembabitannya dalam industri tenaga boleh baharu pada April dengan pengambilalihan Amplus Energy Solutions Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, pengeluar tenaga solar terkemuka di India.
Bulan lepas, Petronas melancarkan penyelesaian bumbung solar pertamanya di Malaysia dikenali sebagai M+, dan disifatkan sebagai penyelesaian yang boleh disesuaikan dan mampu milik untuk kegunaan komersial dan industri.
“Pertumbuhan ekonomi memerlukan tenaga, justeru, penting untuk mengimbangi semua permintaan mengikut keperluan, dasar dan peraturan negara.
“Pada masa sama, kita juga perlu mengubah tingkah laku kita tentang cara kita menggunakan tenaga sehingga tidak menjejaskan kehidupan pada masa depan,” katanya.
— BERNAMA