Petronas bekerjasama dengan Microsoft perkasa transformasi digital

Petronas bekerjasama dengan Microsoft perkasa transformasi digital

KUALA LUMPUR,. Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Microsoft Corp bagi memperkasakan transformasi digital di sektor awam dan swasta.

Syarikat minyak negara itu dalam satu kenyataan pada Selasa berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada bidang utama asas digital merangkumi kemahiran bakat dan ketersediaan infrastruktur untuk pembangunan negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata perkongsian dengan Microsoft menggariskan komitmen kumpulan untuk memupuk kelahiran tenaga kerja mampan yang cukup tersedia bagi menyokong ekonomi digital Malaysia.

“Pembangunan modal insan yang berterusan akan menjadi penting kepada keupayaan kami untuk beroperasi dan bersaing.

“Kami berharap dapat mempercepatkan usaha dalam meningkatkan bakat tempatan dengan tujuan untuk mewujudkan masa depan digital yang inklusif bagi kebaikan rakyat dan negara,” katanya.

MoU itu diumumkan semasa pelancaran inisiatif ‘Bersama Malaysia’ Microsoft pada 19 April lepas.
Inisiatif ini menyokong matlamat MyDIGITAL negara dalam mengubah Malaysia untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Digital Aadrin Azly berkata kumpulan itu komited untuk meningkatkan tenaga kerja dan ekosistem Petronas dengan Microsoft melalui Akademi Digital Petronas.

“Visi kami adalah untuk membangunkan sistem pembelajaran digital berkesinambungan, yang boleh memperkasakan tenaga kerja negara,” katanya.

Sebagai permulaan, Akademi Digital Petronas yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat, dijangka meliputi asas-asas digital dan disiplin teknikal bagi tenaga kerja.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )