
Petronas beri PSC Aset Lapangan Kecil kepada Rex International dan Duta Marine
KUALA LUMPUR,. Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menandatangani dua Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Aset Lapangan Kecil (SFA) kepada Rex International Holding Ltd (Rex International) dan Duta Marine Sdn Bhd (Duta Marine) untuk kluster Rhu-Ara dan Diwangsa di luar persisir Semenanjung Malaysia.
Petronas berkata pemberian PSC itu menandakan kemasukan kali pertama Rex International ke industri huluan Malaysia dengan kerjasama syarikat tempatan, Duta Marine.
Rex International yang memiliki 95 peratus kepentingan penyertaan dengan Duta Marine memegang baki lima peratus di dua PSC itu, mempunyai pengalaman dan kepakaran operasi yang signifikan dalam membangunkan dan menghasilkan lapangan kecil minyak di Timur Tengah serta penyertaan dalam usaha sama di Laut Utara.
Petronas berkata lapangan bidang ini ditawarkan semasa Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2021 berdasarkan syarat fiskal SFA diperkenalkan pada tahun yang sama yang meningkatkan komitmen Petronas untuk mendapatkan hasil daripada peluang sumber ditemui di perairan Malaysia.
Kluster Rhu-Ara terdiri daripada lapangan Rhu dan Ara terletak di Lembangan Penyu, 150 kilometer (km) di luar persisir pusat minyak Kerteh, Terengganu, sementara kluster Diwangsa terletak di sebelah barat laut Lembangan Melayu, ia terdiri daripada lapangan Diwangsa, Bubu, Korbu dan Lerek.
“Lapangan minyak dan gas yang ditemui sebelumnya mempunyai jumlah yang dapat dipulihkan sebanyak 12.7 Juta tong tangki stok (MMstb) untuk kluster Rhu-Ara dan 10.7 MMstb untuk kluster Diwangsa.
“Dua kluster ini sekarang tersedia untuk pembangunan berdasarkan syarat SFA PSC yang menggabungkan model fiskal dan proses kerajaan yang dipermudahkan,” katanya.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata Petronas percaya bahawa kemampuan Rex International yang dicapai dalam mengembangkan lapangan kecil di luar negara dapat digunakan di lapangan Rhu Ara untuk membuka potensi di Lembangan Penyu diikuti dengan pembangunan kluster Diwangsa.
“Kami mengalu-alukan pemain baharu yang dapat memberikan penyelesaian inovatif untuk memastikan jumlah kos kitaran hidup terendah dalam membangunkan peluang sumber yang ditemui di perairan Malaysia.
“Petronas juga gembira kerana syarat SFA menjadi lebih menarik kepada para pelabur sehingga mengikitraf usaha yang dilakukan untuk menjadikan Malaysia hab pertumbuhan bagi para pelabur,” katanya.
— Bernama