Petronas gesa perkongsian progresif sokong pasaran LNG lestari

Petronas gesa perkongsian progresif sokong pasaran LNG lestari

KUALA LUMPUR,. Petronas menggesa perkongsian progresif dalam kalangan peserta industri untuk menyokong gas asli cecair (LNG) sebagai sumber tenaga bersih pilihan bagi tempoh jangka panjang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata kini merupakan tempoh kritikal bagi pemain industri untuk saling bekerjasama mendepani cabaran daripada perubahan dinamik pasaran, tingkah laku pelanggan dan peningkatan kawal selia dan komitmen dasar termasuk teknologi dan inovasi, yang boleh mengganggu pertumbuhan pasaran LNG.

“Sebagai bahan api yang yang mesra alam dan mempunyai simpanan yang besar, LNG berkedudukan baik untuk memainkan peranan penting bagi memenuhi aspirasi global bagi tenaga yang lestari, mampu milik dan selamat.

“Meskipun LNG mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, industri perlu berhati-hati. Kejayaan industri kita bergantung kepada tindakan konkrit dan bersepadu oleh semua pemegang kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berucap semasa Persidangan Pengeluar-Pengguna LNG 2019 di Tokyo, Jepun, baru-baru ini, Wan Zulkiflee menekankan kepentingan untuk menyokong LNG dan mewujudkan permintaan baharu.

“Memandangkan setiap pusat permintaan, terutamanya pasaran sedang pesat membangun, memiliki kriteria uniknya sendiri, pemain industri perlu bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam membangunkan penyelesaian sesuai-bagi-tujuan, mencerminkan tanggungjawab bersama dalam menjadikan LNG mudah didapatkan dan diakses,” katanya.

Beliau juga mengetengahkan bahawa perkongsian dalam seluruh rantaian nilai telah membuka peluang kerjasama baharu serta meningkatkan interaksi dalam kalangan semua pemegang kepentingan.

Memandangkan industri LNG yang bersifat jangka panjang, peningkatan interaksi dalam kalangan pemegang kepentingan akan memudahkan pelarasan standard dan garis panduan seperti protokol pelabuhan dan peraturan keselamatan bagi perkhidmatan pengisian LNG.

Wan Zulkiflee berkata, Petronas, yang menjadi pemain jangka panjang, komited untuk membuat pelaburan besar bagi memanfaatkan potensi LNG dalam memastikan persekitaran lebih bersih bagi generasi akan datang.

Petronas, yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun dengan lebih daripada 10,000 kargo selamat dihantar ke seluruh dunia, mampu untuk menyediakan penyelesaian yang inovatif dan unggul menerusi penyelesaian LNG kreatifnya dan keupayaan dagangan seperti punggahan muatan individu kapal ke kapal, perkhidmatan pengisian LNG dan Sistem Saluran Paip Maya menerusi Isotanks untuk mengangkut LNG.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)