
Petronas Kajian Penamatan Aktiviti Aset Matang, Termasuk Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak
KUALA LUMPUR: Petronas kini dalam proses menilai kemungkinan untuk menamatkan aktiviti berkaitan aset matang dalam operasi huluan di Malaysia, termasuk Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) yang menghubungkan Kimanis di Sabah ke Bintulu di Sarawak. Saluran paip gas sepanjang 500 kilometer itu telah beroperasi sejak 2014 dan kini menjadi salah satu fokus utama dalam penilaian aset.
Dalam laporan Prospek Aktiviti 2025-2027, syarikat minyak negara ini menjelaskan bahawa mereka sedang mengkaji aset-aset yang tidak lagi digunakan untuk melihat peluang guna semula.
**“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, kami merancang untuk menamatkan operasi di sekitar 153 telaga dan 37 kemudahan luar pesisir serta satu kemudahan darat, termasuk SSGP,” kata Petronas dalam laporan itu.
Selain itu, Petronas juga merancang untuk menggali lebih kurang 15 telaga cari gali setiap tahun dalam dua tahun akan datang, fokus utama diberikan kepada telaga air cetek dan telaga air dalam. Dijangka, lebih dari 400 telaga akan digerudi dalam tempoh tiga tahun yang akan datang, di samping pelaksanaan 39 projek huluan. Projek ini merangkumi pembinaan tiga Platform Pemprosesan Pusat (CPP) di luar pesisir dan tiga kemudahan di darat, serta pemasangan 900 km saluran paip.
Untuk memastikan pengeluaran yang optimum, Petronas turut merancang pelaksanaan 367 pelan penambahbaikan kemudahan (FIP) dalam tempoh tiga tahun mendatang. FIP ini akan melibatkan perolehan, pembinaan, pemasangan, dan penggantian penjana turbin gas (GTG) dalam projek Pemulihan F6.
Petronas juga menekankan bahawa FIP ini menyokong usaha penyahkarbonan dengan mengurangkan pembakaran di kemudahan darat yang baru. Selain itu, syarikat berkenaan kini memberi tumpuan kepada inisiatif pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), khususnya dalam projek Kasawari. Di sektor hiliran pula, Petronas terus berusaha untuk mengembangkan perniagaan bahan kimia khusus mereka.