Petronas sokong inisiatif bagi ketelusan pendedahan berkaitan iklim

Petronas sokong inisiatif bagi ketelusan pendedahan berkaitan iklim

KUALA LUMPUR,. Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan sokongannya terhadap Inisiatif Zero Routine Flaring (Pembakaran Rutin Sifar) menjelang 2030 oleh Bank Dunia dan cadangan Pasukan Petugas Khas bagi Pendedahan Kewangan berkaitan Iklim.

Syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan hari ini berkata sokongan itu merupakan sebahagian daripada usaha padunya bagi mencapai ketelusan tinggi dalam usaha menangani perubahan iklim sejajar dengan aspirasi kumpulan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Pegawai Ekskutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata kumpulan itu menyedari akan kepentingan pendedahan berkaitan iklim dan memastikan tenaga disampaikan secara bertanggungjawab menerusi cara yang memberi manfaat kepada penduduk dan planet dunia.

“Petronas komited dan menyokong sepenuhnya kerangka dan standard antarabangsa bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“Dalam hal ini, kami percaya menangani isu kritikal mengakhiri pembakaran gas rutin menerusi Inisiatif Pembakaran Rutin Sifar sejajar dengan peranan dan aspirasi kami untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Inisiatif Pembakaran Rutin Sifar itu bertujuan untuk menamatkan pembakaran rutin gas berkaitan daripada pengeluaran minyak.

Di bawah inisiatif itu, Petronas menyatakan kesanggupannya untuk mengelakkan pembakaran rutin dalam pembangunan lapangan minyak baharu dan pembakaran rutin di tapak pengeluaran minyak sedia ada menjelang 2030.

“Inisiatif ini dapat dilaksanakan bagi operasi huluan Petronas dalam kawalan operasi dan tidak termasuk sumber pembakaran disebabkan keselamatan dan pembakaran bukan rutin,” kata syarikat itu,

Dengan menyokong inisiatif tersebut, Petronas menyertai pakatan kerajaan, syarikat dan institusi global yang semakin berkembang yang menunjukkan kepimpinan alam sekitar mapan serta pengurusan sumber alam semula jadi yang efektif dengan melaporkan kepada umum data pembakaran mereka setiap tahun dengan sasaran pendedahan pertamanya pada 2023.

“Langkah ini juga menandakan sumbangan Petronas kepada Sumbangan Nasional yang Ditentukan kepada Perjanjian Iklim Paris dalam mengurangkan perubahan iklim dan membangunkan Komitmen Karbon Petronas yang diperkenalkan pada 2012,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)