Petronas Sprinta Racing ikat Xavi Vierge untuk musim 2021

Petronas Sprinta Racing ikat Xavi Vierge untuk musim 2021

KUALA LUMPUR,. Pasukan Petronas Sprinta Racing menyambung kontrak selama setahun pelumba dari Sepanyol Xavi Vierge untuk saingan kelas Moto2 tahun depan.

Vierge dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukannya berkata sejak menyertai Petronas Sprinta Racing untuk musim 2020, beliau berasa selesa dengan pasukan dan kru yang menjadi antara alasan bersetuju meneruskan kontrak bersama pasukan itu.

“Terima kasih tidak terhingga kepada pasukan kerana mempercayai saya dan meneruskan kontrak selama setahun, saya sangat gembira.

“Walaupun tahun ini adalah musim yang agak ganjil, kami berjaya mencapai kemajuan dalam setiap perlumbaan, semakin hampir dengan matlamat dan jika berterusan, ia pasti lebih memberangsangkan tahun depan,” katanya.

Pelumba berusia 23 tahun itu berkata untuk saingan musim ini, beliau bertekad untuk berada dalam kelompok lima terbaik dalam setiap perlumbaan.

Sejak bersama Petronas Sprinta Racing, Vierge berjaya mempamerkan peningkatan dalam setiap perlumbaan bermula dengan pencapaian di Grand Prix (GP) San Marino apabila berjaya menamatkan saingan di tempat keempat.

Di GP Emilia Romagna pula, Vierge meraih kemenangan podium pertamanya untuk musim 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )