Petrosains jalin perkongsian strategik dengan Lotte World Korea Selatan
KUALA LUMPUR,. Petrosains Sdn Bhd, yang menguruskan operasi lawatan ke Menara Berkembar Petronas dan Petrosains, The Discovery Centre, membentuk perkongsian strategik dengan firma hiburan rekreasi dari Korea Selatan, Lotte World.
Perkongsian itu bertujuan berkongsi pengetahuan serta kepakaran berkaitan pemasaran rentas-promosi, khidmat pelanggan dan pengurusan runcit antara Lotte World dan dua entiti di bawah Petrosains.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Fedora Zulkifli, berkata pihak terbabit juga bersetuju untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam aktiviti pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik antara Petrosains, The Discovery Centre dan Lotte World.
Petrosains, anak syarikat milik penuh Petronas, memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lotte World semalam.
Lotte World adalah pengendali kompleks rekreasi utama di Seoul, Korea Selatan, yang merangkumi taman tema tertutup terbesar di dunia.