Petunjuk ekonomi menunjukkan pertumbuhan berterusan

Petunjuk ekonomi menunjukkan pertumbuhan berterusan

KUALA LUMPUR,. Ekonomi Malaysia kekal utuh, dicetuskan oleh prestasi yang meyakinkan menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), eksport dan import, pekerjaan serta data komoditi, terutamanya sektor minyak sawit mentah.

KDNK meningkat 8.9 peratus pada suku kedua 2022, jauh lebih baik daripada 4.9 peratus yang dicatatkan semasa prapandemik pada suku kedua 2019, menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Walaupun eksport melonjak 30 peratus kepada RM336.1 bilion pada suku kedua, namun import turut meningkat 36.1 peratus kepada RM394.2 bilion, yang menunjukkan kekuatan dan kemampuan ekonomi negara.

Jabatan Perangkaan berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 6.9 peratus pada suku kedua berbanding suku yang sama tahun lalu.

Pada masa yang sama, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 17.4 peratus tahun ke tahun kepada RM443.5 bilion dan hasil sektor perkhidmatan naik 25.2 peratus kepada RM506.5 bilion.

Sementara itu, pengeluaran tandan buah segar (FFB) menunjukkan peningkatan sebanyak 3.3 peratus kepada 8.02 juta tan pada Julai 2022.

Bilangan penduduk yang bekerja pula meningkat 3.2 peratus kepada 15.7 juta orang, manakala kadar pengangguran berada pada tahap 3.9 peratus, kata jabatan itu.

”Berdasarkan perubahan tahunan Indeks Pelopor (IP) pada bulan Jun, ekonomi Malaysia menuju ke arah pertumbuhan selanjutnya pada bulan-bulan akan datang, sejajar dengan jangkaan isyarat yang meyakinkan bagi permintaan domestik dan eksport yang kukuh serta pembukaan semula sempadan antarabangsa,’’ katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )