
PGA rampas 1.4 tan daun ketum di Pasir Mas, tahan sembilan suspek
PASIR MAS,. Polis menahan sembilan lelaki dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran daun ketum dalam satu serbuan di Batang Merbau, Tanah Merah, pagi kelmarin dan merampas 1.4 tan daun ketum bernilai RM49,993.
Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata, serbuan pada jam 9.30 pagi itu dibuat selepas anggota PGA7 membuat risikan awal di kawasan rumah suspek termasuk membuat penyamaran.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati daun ketum itu diperoleh dari Kedah dan dihantar oleh seorang lelaki sebelum itu.
“Pemeriksaan yang dibuat di dalam rumah mendapati lapan lagi suspek berusia antara 28 dan 41 tahun berada di situ. Dua suspek cuba melarikan diri ke dalam semak tetapi berjaya ditahan kerana anggota PGA sudah membuat kepungan di sekitar rumah,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Setol di sini kelmarin.
Menurut beliau, pemeriksaan awal ke atas suspek tidak menemukan barang larangan itu, namun berpandukan maklumat daripada suspek, anggota PGA menemukan 131 bungkusan daun ketum, 10 liter ubat batuk dan lima botol air ketum disorokkan dalam semak di belakang rumahnya.
Azhari berkata susulan penemuan itu, suspek utama yang juga pemilik rumah berusia 29 tahun serta lapan rakannya yang menjadi ejen atau pengedar itu ditahan untuk siasatan lanjut.
“Dalam serbuan itu juga, kita menemukan wang tunai sebanyak RM4,498 dipercayai hasil penjualan ketum.
“Siasatan juga mendapati kesemua ketum itu adalah untuk pasaran tempatan serta Terengganu. Suspek juga mengaku jumlah daun ketum yang dihantar dari Kedah adalah sebanyak 2.1 tan tetapi 700 kilogram (kg) daripadanya sudah dijual,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1950 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
— Bernama