PGA rampas rokok seludup, minuman keras bernilai lebih RM2 juta

PGA rampas rokok seludup, minuman keras bernilai lebih RM2 juta

TAPAH,. Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dianggarkan bernilai RM2.02 juta, dan menahan dua lelaki disyaki penyeludup dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Stesen di sini awal pagi semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 51 dan 59 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan menerusi Op Kontraban yang dijalankan Cawangan Risik Briged Utara pada kira-kira pukul 2.15 pagi.

Timbalan Komander PGA Briged Utara ACP Noh Khamis berkata serbuan di premis yang dijadikan stor penyimpanan itu membawa kepada penemuan 4,105 karton pelbagai jenis rokok, 38,628 tin arak dan 3,421 botol minuman keras.

“Kita turut merampas sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda. Penyeludupan dilakukan dengan menggunakan lori, dan bungkusan plastik digunakan untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata hasil risikan mendapati kumpulan itu telah aktif sejak enam bulan lepas dan barangan seludup itu diambil dari kawasan Lembah Klang untuk diedar ke kawasan perkampungan Orang Asli serta kedai runcit berhampiran di Bidor, Kampar, Tapah, Teluk Intan dan Cameron Highlands di Pahang.

Noh berkata kedua-dua tangkapan serta rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah untuk siasatan lanjut, dan beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu supaya menghubungi Cawangan Risik dan Gerakan Briged Utara dengan menelefon 05-5406666 bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan haram.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)