PGA7 rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM20,000

PGA7 rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM20,000

KOTA BHARU,. Menjelang musim perayaan, penyeludup mercun dan bunga api mengambil peluang untuk membawa masuk pelbagai jenis bahan terbabit ke negara ini menggunakan ‘laluan tikus’ yang banyak terdapat di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Meskipun terpaksa berhadapan dengan risiko tertangkap, masih ada penyeludup yang berani melakukan ‘tugasan’ itu demi mengaut keuntungan berganda.

Difahamkan, kesukaran mendapatkan mercun dan bunga api di sini berlaku ekoran Op Benteng yang dilaksanakan oleh kerajaan menyebabkan harga bahan itu meningkat sekali ganda.

Menurut Pegawai Pemerintah Medan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi, pihaknya sedar dengan keadaan itu dan kesemua anggota diarahkan supaya menggiatkan lagi rondaan di sepanjang sempadan bagi mengesan sebarang pergerakan yang mencurigakan.

Beliau berkata kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api ke sini terbukti dengan dua rampasan yang dilakukan pada semalam, melibatkan mercun dan bunga api bernilai lebih RM20,000.

“Dalam kejadian pertama, anggota pasukan Strike Force telah merampas sejumlah mercun bernilai RM8,622 berhampiran sebuah stesen minyak selepas menahan sebuah kereta Honda Stream pada 5.57 petang.

“Rampasan dilakukan selepas mengekori sebuah kereta yang dilihat mencurigakan berdekatan Jeram Perdah, Rantau Panjang.

“Sebaik tiba di stesen minyak itu, sepasukan anggota Strike Force telah menahan seorang lelaki berumur 34 tahun dan menemukan enam kotak besar mengandungi mercun di dalam kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, kesemua barangan termasuk kereta (RM45,000) dianggarkan bernilai RM53,622 telah dirampas dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Azhari berkata kejayaan kedua dicatatkan selepas anggotanya merampas sejumlah 202 kotak mercun bernilai RM11,600 yang ditinggalkan di dalam sebuah kereta jenis Inocom Matrix di Kampung Lanchang dekat Rantau Panjang, Pasir Mas pada 10.06 malam.

Katanya, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana pemilik kenderaan disyaki meninggalkan kereta di situ kerana bimbang ditahan.

“Kesemua barangan bernilai RM18,600 termasuk kereta (RM7,000) diserahkan kepada Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat dalam dua kes ini mercun dan bunga api yang dirampas adalah untuk pasaran di Bachok dan sekitar Pasir Mas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )