PH bincang persediaan PRK Tanjung Piai
PUTRAJAYA,. Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat di Muar, Johor hari ini bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan pada bulan depan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mesyuarat yang akan dipengerusikannya itu akan melibatkan pemimpin jentera pilihan raya PH di peringkat pusat dan negeri.
Beliau berkata Bersatu bersama parti komponen lain dalam PH akan bersama-sama mengatur strategi yang lebih berkesan dan memastikan gerak kerja kempen lebih menyeluruh supaya sampai kepada setiap pengundi.
Mengenai senarai calon yang akan mewakili Bersatu, Muhyiddin berkata pihaknya masih memperincikannya bagi memastikan calon yang akan diketengahkan diterima pengundi.
“Senarai calon akan diperhalusi dengan cara yang sebaik mungkin supaya calon yang kita pilih itu diterima oleh pengundi-pengundi di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA), di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 2 Nov serta pengundian awal akan diadakan pada 12 Nov.
PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat serangan jantung.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr Md Farid, seorang pakar bius, mewakili PH-Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi.
Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN) dan Nordin Othman (PAS).
— BERNAMA