PH harap UMNO tanding PRK Parlimen Tanjung Piai

PH harap UMNO tanding PRK Parlimen Tanjung Piai

PUTRAJAYA,. Pakatan Harapan (PH) berharap pembangkang meletakkan calon UMNO untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor kerana berpendapat pakatan itu lebih berpotensi menang jika disaingi wakil UMNO, kata pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Banyak masalah di situ. Kita berpendapat bahawa kita bergantung kepada parti lawan untuk menang iaitu kita minta mereka letak calon dari UMNO. Tolonglah, supaya kita boleh menang,” katanya secara sinis pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata walaupun buat masa ini calon PH masih belum ditentukan, namun yang pasti pakatan itu akan diwakili oleh calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 Sept lepas selepas mengalami komplikasi jantung.

Pada PRU14, Dr Md Farid yang merupakan seorang pakar bius dan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Ditanya mengapa PH mengharapkan calon UMNO daripada Barisan nasional (BN) bertanding PRK tersebut, Dr Mahathir berkata: “Adalah fakta-fakta yang tak boleh kita terangkan sekarang.”

Perdana Menteri berkata mesyuarat tersebut turut membincangkan secara panjang lebar mengenai Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Jumaat ini.

Katanya, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin PH dan terdapat sedikit perubahan yang dicadangkan untuk belanjawan tersebut.

“Dan diharap Menteri Kewangan akan mengambil kira pandangan ini dan membuat pengumuman dalam ucapan (nanti),” katanya.

Ditanya mengenai perubahan yang diinginkan itu, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: “I won’t tell you, its embargo until Friday” (Saya tidak boleh beritahu anda, ia embargo sehingga Jumaat).

Sementara itu, Dr Mahathir ketika diminta mengulas mengenai lantikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting, yang juga merupakan isteri kepada setiausaha politik perdana menteri, berkata PH akan melakukan lantikan politik ke jawatan tertentu jika individu tersebut berkelayakan dan boleh menjalankan tugas.

“Inilah masalah yang kita hadapi. Kami tidak sepatutnya memberi sebarang jawatan kepada orang yang bekerja keras untuk menjayakan parti kita. Sebaliknya, yang mendapat nikmat jawatan-jawatan tertinggi adalah orang-orang yang tidak pernah tolong parti kita.

“Jadi adakalanya kita pilih juga orang yang ada kaitan sedikit dengan parti kerana dia mempunyai kelayakan, dan kita akan terus lakukan perkara yang sama kalau kita dapati ada orang yang ada kaitan dengan parti, bekerja kuat dengan parti, tetapi mempunyai kebolehan untuk menjayakan tugas itu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )