PH Johor terima keputusan PRK, isyarat jelas yang perlu diambil serius

PH Johor terima keputusan PRK, isyarat jelas yang perlu diambil serius

PONTIAN,. Pakatan Harapan Johor menerima keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, sebagai satu isyarat daripada pengundi yang perlu diambil serius oleh parti, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mengambil kira kekalahan ini, Pakatan Harapan (PH) perlu kembali semula ke paparan lakaran, untuk menilai dasar, pendekatan dan prestasi parti dan kerajaan, yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan bersama pemimpin PH Johor yang lain, di sini, malam ini.

Turut sama dalam kenyataan itu ialah Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor Senator Liew Chin Tong dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.

PH Johor turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PH, yang telah bekerja keras dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam kempen pilihan raya kecil ini.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan PRK itu sebagai satu mesej jelas rakyat kepada kerajaan PH.

Sambil mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng kerana memenangi kerusi parlimen itu, Anwar berkata PH menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat keseluruhannya.

“Majoriti yang diperoleh pembangkang ini satu kejutan dan ia mesej jelas kepada seluruh pimpinan PH. Kita seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada keputusan PRK ini,” kata beliau.

Anwar turut mengingatkan pimpinan kerajaan PH supaya berusaha menanam keyakinan rakyat terhadap dasar yang dibawa oleh PH, dengan usaha positif melaksanakan janji.

Sementara itu, Ketua Pemuda Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kekalahan itu sesuatu yang pahit untuk ditelan.

“Rakyat sudah bersuara. Suara rakyat, suara keramat. Saya memohon maaf kepada belia Malaysia atas kekurangan saya. Kemarahan ini perlu dijawab dengan tindakan. Sekali lagi, minta maaf,” kata beliau.

Bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai dua penggal itu merampas kembali kerusi parlimen itu setelah diumumkan pemenang dengan majoriti 15,086 undi, selepas selesai proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

Calon Barisan Nasional dari Parti MCA itu memperolehi 25,466 undi sekali gus mengalahkan pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang memperolehi 10,380 undi.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi, sementara dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi.

Keempat-empat mereka hilang wang deposit kerana tidak berjaya mendapat 12.5 peratus atau satu perlapan dari jumlah undi.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )