PH tolak usul kerajaan, MoU terbatal – Annuar Musa

PH tolak usul kerajaan, MoU terbatal – Annuar Musa

KUALA LUMPUR : Tindakan Pakatan Harapan (PH) meminta undi belah bahagi di Dewan Rakyat menyebabkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dengan pembangkang terbatal.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, Perkara 3.3 (b) dalam MoU itu menyebut, PH telah bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam usul yang dikemuka kerajaan.

Dalam erti kata lain katanya, PH berjanji tidak akan menolak usul kerajaan.

“Namun hari ini 23 Mac 2022 pihak PH telah melanggar MoU tersebut, dengan secara mengejut meminta undi belah bagi, bagi satu usul yang dibawa oleh Menteri KDN, di mana pihak PH telah mengundi menolak usul tersebut.

“Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MoU,” katanya dalam satu entri terbaharu di laman sosial Facebooknya pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan, usul Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, gagal melepasi undi belah bahagi.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan itu berkata, ahli Parlimen yang bersetuju dengan usul tersebut ialah seramai 84 orang, manakala tidak bersetuju seramai 86 orang.

Sementara itu, katanya lagi, 50 lagi ahli Parlimen gagal menghadirkan diri.

Mengulas lanjut, Annuar menyifatkan perkembangan itu sebagai ‘mempunyai hikmah di sebaliknya’ kerana Perdana Menteri kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MoU tersebut.

“Ini akan memudahkan lagi tanggungjawab Perdana Menteri (dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong) melaksanakan mandat Perhimpunan Agong UMNO (PAU) terutama berkaitan pembubaran Parlimen.

“Ia juga membolehkan kita segerakan PRU (Pilihan Raya Umum), selari dengan keputusan PAU tempoh hari,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau menyokong penggantungan MoU berkenaan dan bersedia untuk PRU ke-15 (PRU15).

“Gantung MoU! Jom!Kita buat persiapan dan bersedia untuk PRU15,” tegas beliau.

-Astro Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)