Piala Malaysia: Kedah sasar rentak cemerlang bertemu Pahang
ALOR SETAR,. Kedah berharap dapat meneruskan rentak kemenangan pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia, susulan kejayaan menewaskan PKNP FC dengan agregat 6-2 di peringkat suku akhir.
Pengendali skuad Lang Merah Aidil Sharin Sahak bagaimana pun mahu anak buahnya meningkatkan prestasi masing-masing kerana lawan mereka pada peringkat itu iaitu Pahang memiliki barisan pemain yang hebat dan akan memberikan cabaran berbeza berbanding lawan sebelum ini.
“Mulai hari ini, kita kena bekerja keras dan mempersiapkan pasukan pada tahap 100 peratus, sebab kita tahu Pahang antara pasukan yang hebat, mempunyai pemain tempatan, import serta jurulatih yang baik.
“Ia adalah separuh akhir dan kita perlu dapatkan keputusan yang baik duhulu di tempat sendiri sebab bukan mudah bila bermain di tempat lawan, Insya Allah saya rasa pemain akan bekerja keras untuk itu,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan suku akhir kedua bertemu PKNP FC, di sini Ahad malam.
Katanya, dalam tempoh lebih dua minggu sebelum aksi separuh akhir pertama yang dijadual pada 18 Okt depan, Kedah akan melakukan persiapan sebaik mungkin merangka strategi dan formula untuk menewaskan Pahang.
Mengulas mengenai perlawanan bertemu PKNP itu, Aidil Sharin berkata, pujian harus diberikan kepada semua pemain dan barisan jurulatih yang bekerja keras bagi memastikan pasukan memenangi perlawanan tersebut.
Aidil Sharin berkata, walaupun keputusan memihak kepada pasukannya, namun ia bukan mudah dan hanya diperoleh hasil persembahan serta disiplin terbaik yang dipamerkan setiap pemain.
“Bukan senang bermain dengan PKNP yang ramai pemain muda memberi tentangan dan menunjukkan kualiti permainan, tapi apa yang paling penting kita dapat empat gol dan itu keputusan yang baik untuk penyokong yang datang beri sokongan dan membantu kemenangan pasukan, kalau ada rezeki kita akan ke final lagi,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata, berdepan dengan Kedah yang menjuarai Piala FA baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana pasukan itu mempunyai barisan pemain terbaik yang sukar ditandingi PKNP.
“Bagi saya ianya pengalaman yang berguna untuk pemain kita yang majoritinya belum pernah bermain di suku akhir, walaupun bertaraf kelab tetapi kita antara pasukan lapan teratas dalam Liga Super dan memang bagi saya satu pencapaian baik walaupun kita tidak konsisten dalam liga.
“Saya rasa kita perlu ada tonggak untuk bersaing kerana PKNP banyak pemain tempatan dan hanya bergantung kepada tiga pemain import dan kita perlu ambil kira juga untuk terus memberi saingan musim akan datang,” katanya.
— BERNAMA