Piala Malaysia: Selangor tewaskan Perak 1-0

KUALA LUMPUR,. Pasukan paling cemerlang dalam sejarah saingan Piala Malaysia, Selangor FC terpaksa berhempas-pulas sebelum mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan kedua tercorot Liga Super 2021, Perak FC dalam aksi sulung musim ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Pada aksi Kumpulan B, gol tunggal bagi juara 33 kali itu, dijaringkan oleh penyerang import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-79, yang melengkapkan sepakan penalti di sebelah kiri palang gol selepas berjaya mengelirukan penjaga gawang Muhammad Azri Ab Ghani yang bergerak ke arah kanan.

Skuad Gergasi Merah dihadiahkan penalti apabila penyerangnya, Sean Selvaraj dijatuhkan oleh pemain pertahanan Perak Mohd Idris Ahmad di dalam kotak penalti.

Satu lagi perlawanan kumpulan sama menyaksikan Terengganu FC mengatasi Kuching City FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Skuad Penyu membuka jaringan menerusi sepakan penalti Lee Tuck pada minit ke-22, selepas penjaga gol pasukan pelawat, Wan Muhammad Azraie Wan Teh menjatuhkan penyerang, Jordan Mintah.

Skuad kendalian Nafuzi Zain kemudian berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-48, apabila Faisal Abdul Halim menyambar umpanan Makan Konate dengan rembatan kaki kiri untuk menewaskan Wan Muhammad Azraei.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )