Pihak berkuasa di Lembah Klang siap siaga hadapi banjir kilat

Pihak berkuasa di Lembah Klang siap siaga hadapi banjir kilat

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan di Lembah Klang kini siap siaga dengan logistik dan tenaga kerja untuk digerakkan sekiranya berlaku banjir kilat. Pelbagai usaha tebatan banjir juga telah dimulakan dengan harapan dapat mengurangkan berlakunya banjir yang boleh mengakibatkan kemusnahan kediaman dan premis perniagaan.

Pihak berkuasa di Shah Alam dan Klang – salah satu kawasan paling teruk terjejas dalam banjir 18 Dis tahun lepas – menggunakan data masa nyata (real-time data) untuk memantau banjir.

Majlis Bandaraya Shah Alam sedang memantau takungan dan pamnya bagi memastikan kemudahan tersebut berfungsi. Antara kawasan yang dipantau ialah Taman Sri Muda, Taman Mesra, Kampung Kebun Bunga, Padang Jawa dan Seksyen 13.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) menggunakan kamera televisyen litar tertutupnya untuk menjalankan pemantauan banjir dalam talian sepanjang masa. “Unit Respons Pantas sedang bersiap sedia dan kami telah meningkatkan pemeriksaan ke atas rangkaian perparitan,” kata Yang Dipertua MPK Noraini Roslan

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengenal pasti 34 titik panas banjir kilat dan memperuntukkan kira-kira RM28 juta untuk melaksanakan projek tebatan banjir. Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir berkata, pengurusan banjir akan meliputi sebelum banjir, semasa banjir dan kejadian selepas banjir.

Mereka yang berada di Subang Jaya boleh melihat amaran berkaitan banjir di platform media sosial Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ). Bilik gerakan bencana di pusat arahannya telah diaktifkan dan telah bersiap sedia sejak permulaan musim tengkujuh.

Di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan papan iklan elektroniknya untuk menghantar sebarang amaran sekiranya amaran banjir dicetuskan. Bilik gerakan DBKL di Menara DBKL 1 di Jalan Raja Laut akan diaktifkan untuk menyelaraskan respons terhadap mangsa banjir, jika ada.

Agensi dan pihak berkuasa tempatan juga sedang menaik taraf dan membersihkan saliran untuk menampung air larian permukaan dan mengelakkan banjir.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)