PKNP FC pasukan terakhir ke suku akhir Piala Malaysia
KUALA LUMPUR,. Wakil Liga Super, PKNP FC menjadi pasukan terakhir mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada aksi terakhir pusingan awal Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan PKNP FC muncul selaku Naib Juara Kumpulan B di belakang Juara 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudah mengesahkan tiket lebih awal ke suku akhir.
PKNP FC, bagaimanapun, dijadualkan berdepan laluan getir pada aksi suku akhir menentang juara lima kali, Kedah yang menggunakan format timbal balik pada 25 dan 29 September ini.
Pada aksi di Manjung, Yashir Pinto meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan seawal minit kelapan setelah memanfaatkan kelalaian benteng pertahanan PJ City FC.
Kealpaan benteng pertahanan pasukan terus dihukum oleh Khairul Asyraf Sahizah yang meledak jaringan kedua hasil sepakan kencang di dalam kotak penalti pada minit ke-46, sebelum Pinto mengesahkan tiket suku akhir untuk PKNP FC menerusi gol ketiga pada minit ke-61.
Untuk rekod, perlawanan berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada 17 September lepas, terpaksa ditunda sebanyak dua kali setelah sebahagian besar pemain PJ City FC dijangkiti virus Influenza B.
Dalam pada itu, pasukan Liga Premier, UKM FC membawa bekalan tipis untuk aksi timbal balik Piala Cabaran setelah mengatasi Sarawak 1-0 di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, malam ini.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain import dari Iran, Milad Zeneyedpour pada minit ke-80.
Aksi separuh akhir kedua melibatkan kedua-dua pasukan bakal berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 28 September ini.
— BERNAMA