PKP 3.0 tunjuk perkembangan positif landaikan lengkuk jangkitan COVID-19

PKP 3.0 tunjuk perkembangan positif landaikan lengkuk jangkitan COVID-19

KUALA LUMPUR,. Fasa satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lepas telah menunjukkan perkembangan positif dalam usaha melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu terbukti selepas kes harian COVID-19 berjaya diturunkan daripada rekod tertinggi lebih 9,000 kes pada bulan Mei kepada 5,419 semalam dan beliau berharap kes harian akan terus menunjukkan penurunan.

“Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut COVID-19. Pelan ini mengambil kira semua pertimbangan bagi memastikan keputusan yang diambil adalah demi menyelamatkan nyawa serta kelangsungan hidup rakyat.

“Fasa pertama PKP menyeluruh ini terpaksa dilaksanakan susulan peningkatan kes mendadak yang mengancam sistem kesihatan awam. Justeru, kerjasama anda semua amat diperlukan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara ini,” menurutnya dalam kenyataan mengenai PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Ismail Sabri juga berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima 266 aduan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) mengikut kategori yang memerlukan tindakan penguatkuasaan pelbagai kementerian dan agensi dari 6 hingga 14 Jun lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, aduan tertinggi yang direkodkan adalah melibatkan pelanggaran arahan had peratusan kehadiran pekerja ke premis pekerjaan dengan 62 aduan diikuti sektor tidak penting (50) dan kategori ketidakpatuhan SOP am (45).

Sebarang aduan untuk ketidakpatuhan SOP boleh disalurkan kepada Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) menerusi talian 03-8000 8000, 8000 [email protected] atau e-mel ke aduan.pematuhan.mkn.gov.my.

Ismail Sabri juga berkata 90 daripada 404 kilang yang diperiksa telah diarahkan tutup selepas didapati melanggar SOP yang diwartakan dari 1 hingga 14 Jun lepas.

“Secara kumulatifnya, sebanyak 24,834 kilang dan premis perniagaan telah diperiksa sejak 14 Jan 2021 yang melibatkan 22,819 premis perniagaan dan 2,015 kilang. Sehingga kini, 143 kilang dan 17 premis bukan kilang telah diarahkan tutup,” katanya.

Beliau berkata beberapa lokaliti di Sabah dan sebuah kampung di Sarawak serta satu kawasan perumahan di Kuala Lumpur dikenakan PKPD mulai Jumaat ini hingga 1 Julai.

Katanya PKPD di Sabah melibatkan dua kampung di Tawau iaitu Kampung Bukit Gemuk dan Kampung Tanjung Batu Keramat, dua lokaliti di Kudat iaitu Kampung Landung Ayang dan Taman Lavender selain Perumahan Etara, Jalan Agaseh di Lahad Datu.

Di Sarawak pula, PKPD dilaksanakan di Kampung Serikin, Kuching manakala di Kuala Lumpur melibatkan Perumahan Awam Desa Rejang.

“Pelaksanaan PKPD di kesemua lokaliti ini adalah selepas Kementerian Kesihatan mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD di 13 lokaliti sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12, Barat Daya, Pulau Pinang serta PKPD di Mukim Pekan, Kunak dan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Pantai Manis, Papar di Sabah masing-masing tamat esok seperti dijadualkan selepas terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

Beliau juga berkata 841 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dengan 821 daripada mereka dikompaun manakala 20 direman.

Katanya aktiviti rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 170 kes diikuti tiada penjarakan fizikal (165), tidak memakai pelitup muka (157), gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (103), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (91), membawa penumpang berlebihan (87), aktiviti pusat hiburan (32), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (24).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )