PKP fasa kedua tamat hari ini.

PKP fasa kedua tamat hari ini.

KUALA LUMPUR,. Fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 1 April lepas berakhir hari ini dan esok bakal menyaksikan arahan itu diteruskan dengan fasa ketiga sehingga 28 April.

Sepanjang PKP berkuat kuasa, sasaran utama masih kekal sama iaitu untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Memetik kata-kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan perlanjutan PKP untuk fasa ketiga pada Jumaat lepas, beliau mengajak rakyat agar terus bersama-sama memerangi penularan COVID-19 kerana wabak itu masih belum berakhir sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata sekiranya rakyat berjaya mengharungi dugaan ini, penularan wabak itu dapat dikawal dengan izin Allah SWT.
Beberapa sektor ekonomi terpilih turut akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan akan mengambil masa lima hari bagi memproses permohonan operasi syarikat sepanjang tempoh PKP dan sekiranya permohonan itu berjaya, surat kelulusan akan dikeluarkan oleh COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 2.0 melalui pautan laman sesawang https://application.miti.gov.my

Walaupun PKP kini telah dilaksanakan hampir sebulan sejak ia dikuat kuasa pada 18 Mac lepas, dengan tahap pematuhan rakyat setakat ini adalah 97 peratus, namun setiap hari masih ada individu yang ditahan dan dikenakan kompaun kerana kesalahan berkaitan PKP.

Dalam sidang media harian berkaitan perkembangan PKP, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak ketinggalan memaklumkan jumlah individu yang dikenakan tindakan kerana ingkar PKP, selain jumlah sekatan jalan raya dan pemeriksaan kenderaan oleh Polis Diraja Malaysia bersama Angkatan Tentera Malaysia, terus meningkat.

Laporan media semalam menyatakan sebanyak 1,471 individu ditahan, dengan 949 dikenakan kompaun, 503 individu direman dan 19 individu dijamin polis, manakala 51 individu dituduh di mahkamah.

BACA: COVID-19: Malaysia catat satu lagi kematian, 134 kes positif baharu

Setakat ini, situasi COVID-19 di Malaysia menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad semalam adalah 168 orang, melebihi jumlah kes positif baharu.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj dari wad adalah 2,276 kes atau 47.23 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)