PKPB: Pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan dibenar mulakan aktiviti akademik

PKPB: Pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan dibenar mulakan aktiviti akademik

PUTRAJAYA, 17 Mei — Pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan seperti Pengajian Sarjana (Masters) dan Doktor Falsafah (PHD) dibenar untuk memulakan aktiviti akademik dengan kadar segera.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah meluluskan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan pengendalian aktiviti akademik di kampus Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) semasa dan pasca PKP.

“Kebenaran ini melibatkan 31,503 pelajar di 462 IPT yang perlu melakukan penyelidikan secara fizikal di makmal, bengkel dan studio reka bentuk kerana memerlukan peralatan khusus,” katanya pada sidang media harian PKPB di sini, hari ini.

Mengenai laporan bahawa terdapat sekolah swasta yang berhasrat untuk membuka sesi persekolahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ismail Sabri berkata semua jenis sekolah tidak dibenarkan beroperasi.

“Sekolah antarabangsa pun, jika mereka buka di Malaysia, mereka perlu patuh kepada undang-undang negara kita dan tiada satu sekolah pun dibenarkan dibuka,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan akan menyiasat perkara itu dan jika benar terdapat sekolah swasta atau antarabangsa yang beroperasi semasa PKPB, mereka akan diarahkan tutup.

Mengenai rakyat Malaysia yang mempunyai taraf penduduk tetap di luar negara, Ismail Sabri berkata buat masa ini hanya perjalanan satu hala sahaja dibenarkan iaitu untuk mereka yang terkandas di Malaysia kembali ke negara tempat mereka menetap.

“Tetapi kita tidak membenarkan mereka (yang mempunyai taraf penduduk tetap di luar negara) untuk balik semula ke negara kita sehinggalah tamat PKPB,” katanya.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)