PKR Pahang sokong 100 peratus Anwar sebagai PM kelapan

PKR Pahang sokong 100 peratus Anwar sebagai PM kelapan

TEMERLOH: PKR Pahang memberi sokongan 100 peratus kepada presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kelapan, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang Fuziah Salleh.

Beliau berkata ketika ini kesemua 14 cabang PKR di negeri berkenaan memberi sokongan ke atas perkara itu supaya ia menjadi realiti bagi membolehkan parti itu memberi lebih tumpuan kepada gerak kerja dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita berdoa supaya kita dapat melihat presiden kita sebagai perdana menteri kelapan dan negeri Pahang memberi sokongan 100 peratus terhadap perkara itu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Negeri Pahang di Dewan Datuk Zaharuddin Abu Kassim Kampung Peragap, di sini, pada Jumaat.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Kuantan itu turut mengajak pimpinan PKR di setiap peringkat di negeri berkenaan supaya membantu rakyat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang parti sokongan mereka.

“Janganlah memilih-milih dalam membantu rakyat yang memerlukan… sebagai contoh janganlah jika mereka datang daripada UMNO, kita tidak tanda tangan permohonan bantuan mereka,” katanya.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Pengarah Konvensyen Nasional dalam ucapannya mengingatkan kepentingan parti untuk berusaha menunaikan janji pada pilihan raya umum lalu, untuk terus mendapatkan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Jika kita tidak berjaya sampaikan, rakyat akan menghukum kita dan jika boleh, kita akan terus memperoleh kejayaan… bukan hanya kita dapat kekalkan Putrajaya, tetapi kita juga dapat merampas Pahang,” katanya.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata walaupun PRU-15 sukar ekoran ‘perkahwinan UMNO-PAS’ namun beliau yakin tidak mustahil Pahang boleh dirampas dari pentadbiran Barisan Nasional, jika isu yang membelenggu rakyat negeri ini boleh ditangani.

Antaranya, beliau merujuk kepada isu peneroka Felda yang merupakan kumpulan pengundi penting di Pahang, yang mana pimpinan parti perlu turun ke peringkat akar umbi untuk merungkai kekusutan dalam isu seperti menghapuskan hutang.

“Soal ekonomi juga penting kerana ramai rakyat Pahang yang berhijrah dan kita perlu ada jawapan pada soal ekonomi seperti peluang pekerjaan dan gaji yang sewajarnya.

Kita kena ubah struktur ekonomi untuk beri penyelesaian kepada orang muda dan dalam isu ini, kita tidak boleh nak menyalahkan sesiapa kerana kita kini berada di peringkat Persekutuan,” katanya.

Nik Nazmi juga berkata penting untuk pimpinan parti mula mencari pelapis muda khususnya yang berusia dalam lingkungan 20-an bagi mendekati pengundi muda, yang kini masih bersekolah dan akan didaftarkan secara automatik pada usia 18 tahun.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)